Pages

Thursday, June 16, 2011

Resepi Black Forest Trifle Pudding

Lama tak makan puding trifle. Nak buat, selalu guna buah-buah cocktail. Nak makan, tak boleh pula sebab ada nenas. Tapi tak tahulah kalau ada jual cocktail tanpa nenas, malas pula nak cari. Hehe.. Disebabkan itu terjadilah black forest trifle pudding. Hanya guna kek chiffon coklat 1/2kg, blueberry filling dengan buat puding kastad coklat. Hiasan biasa je, guna baki fresh cream dengan maraschino cherries yang kononnya dibeli untuk hias sebiji kek Black Forest (yang masih belum terlaksana sebab kehabisan sekotak fresh cream). Haha..

Dessert yang simple untuk makan pada hari yang panas. Kek dibuat awal sehari, tak perlu nak terkejar-kejar buat dalam satu masa. Cuma lain kali mungkin nak guna gelas yang diameternya sama, leceh lak nak cetak kek untuk gelas berbentuk-bentuk ni. Kalau guna cherry pie filling atau dark pitted cherries dengan kastad biasa mesti nampak lagi kontras warnanya. Hmmm..

Apapun, layan~


Resepi Black Forest Trifle Pudding
(3-4 gelas bergantung pada saiz)
By: Aku.Zack@zachoes.blogspot.com

Black forest trifle pudding~ versi gelas


Bahan:
1 biji kek chiffon coklat (resepi di bawah atau boleh guna resepi lain)
puding kastad coklat (resepi di bawah)
100g blueberry filling@cherry pie filling - ku guna blueberry filling. Sukatan lebih kurang je ni

Hiasan:
maraschino cherries@ cherry merah bertangkai
sedikit fresh cream yang dikocok kaku, atau UHT dairy whipping cream yang dikocok kaku bersama sedikit gula
parutan coklat@serbuk koko, diayak


Resepi Kek Chiffon Coklat (atau boleh guna kek coklat lain)
(Ku buat satu adunan dibawah sebab anak suka makan kek walaupun mak nak buat benda lain, huhu..)

Loyang 9" ketinggian 3"

30g serbuk koko
1/2C air panas
*Campur sebati dan ketepikan.

Bahan A:
4 kuning telur
100g gula kastor
130g tepung naik sendiri
1/2st baking powder
1/2st soda bikarbonat
1/4C minyak masak
1st esen vanila
*Campurkan kesemua bahan A ke dalam mangkuk besar.

Bahan C:
4 putih telur
1/4st cream of tartar
65g gula kastor
*Dalam bekas bebas minyak dan bebas kuning telur, pukul putih telur hingga berbuih. Masukkan cream of tartar dan gula kastor sedikit demi sedikit. Pukul hingga meringue (putih telur yang dipukul ini) tak meleleh, pekat dan tidak jatuh bila mangkuk mixer diterbalikkan.

Cara:
1. Kaup balikkan adunan Bahan C (meringue) ke dalam adunan Bahan B sehingga sebati dan tiada putih telur kelihatan.
2. Tuangkan dalam loyang 9" yang dilengser butter dan dialas baking paper.
3. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan dahulu, suhu 180C selama 40 minit atau hingga lidi dicucuk di tengah-tengah kek keluar kering.
4. Keluarkan loyang dari oven dan biarkan kek sejuk sebentar dalam loyang sebelum ditelangkupkan atas redai. Kek akan mengecut sedikit semasa sejuk.


Resepi Puding Kastad Coklat (Chocolate Custard Pudding)
Diadaptasi dan dimodifikasi dari Disney Family.com
(Bahan-bahan boleh digandakan sebab dapat hias ngam-ngam je. Masa memasak kastad 8-10 minit)

50g coklat masakan@coklat hitam/dark coklat, dicincang
1sb serbuk koko
1sb + 1/sb gula perang, dipadatkan
1C susu segar - ku guna 1C air + 1sb susu tepung penuh krim
secubit garam
1sb + 1/2sb tepung kastad - boleh juga guna tepung jagung
1/2st esen vanila

Cara:
1. Dalam satu periuk kecil, campurkan coklat masakan, serbuk koko, gula perang, dan susu segar. Panaskan atas api kecil sambil sentiasa dikacau (untuk elak hangit) hingga adunan menjadi sebati, lebih kurang 2-3 minit (ku guna whisk telur). Tutup api.

2. Campurkan garam dan tepung kastad dalam satu mangkuk kecil. Tuangkan separuh adunan coklat tadi ke dalam tepung kastad. Kacau guna whisk hingga tepung kastad menjadi sebati dengan adunan coklat. Tuangkan adunan ini kembali ke dalam periuk tadi.

3. Masakkan kastad atas api kecil hingga menjadi pekat, likat dan berkilat, sambil sentiasa dikacau, selama 4-5 minit. Masukkan esen vanila. Tutup api.

4. Untuk memudahkan kastad coklat dituang ke dalam gelas nanti, boleh tukarkan ke dalam bekas bermuncung atau boleh juga disudukan je nanti. (NB: Kastad ini atas sedikit 'set' ketika menyejuk.)

Sediakan semua bahan dahulu


Cara buat black forest trifle pudding:
1. Sediakan bahan-bahan dahulu: kepingan kek coklat yang dicetak ikut saiz gelas (ku buat 3 keping setiap gelas), puding kastad coklat, blueberry/cherry pie filling, cherry merah bertangkai, fresh cream/whipped cream, parutan coklat.

2. Ambil sekeping kek coklat dan letakkan pada dasar gelas. Buatkan 3 layer: kek coklat-puding kastad coklat-blueberry filling. Tunggu hingga kastad coklat sejuk (boleh simpan dalam peti sejuk dulu) barulah dihias dengan fresh cream/whipping cream (jangan letak masa kastad tengah suam/panas, nanti creamnya cair).

3. Hiaskan dengan menabur parutan coklat atau serbuk koko yang diayak serta sebiji cherry bertangkai. Sejukkan dulu beberapa jam sebelum dihidangkan.

Black forest trifle pudding~ Boleh diolah ikut citarasa masing-masing

No comments:

Post a Comment