ENTRY dari suamiku Duokino@
http://www.duokino.com/2011/08/nurfatihah-humairah-hanya-sekadar.html
Pada pagi 25 Julai 2011, saya diberitahu oleh isteri yang telah beberapa hari ditahan di wad hospital bahawa beliau akan diinduce kerana anak kedua kai yang di dalam kandungan telah melebihi tarikh due. Setelah menguruskan anak sulungku, dengan segera aku bergegas ke hospital. Mudah-mudahan isteriku selamat melahirkan anak kedua kami.
Sepanjang pagi dilihat bahawa progress isteri dan anakku adalah baik. Sepanjang masa degupan jantung anakku yang masih di dalam kandungan dipantau rapi. Sekuran-kurangnya 3 jam isteriku terpaksa berdiam bagi memastikan kelancaran proses memantau degupan jantung bayi di dalam kandungan. Beritahu isteriku bahawa biasanya hanya mengambil masa setengah sahaja. Mungkin pihak hospital mahukan pemantauan yang lebih rapi.
Alhamdulillah, pada tengahari dapat dilihat tanda-tanda kelahiran bayi dimana bukaan bagi laluan kelahiran bayi semakin luas. Saya dan isteri tak henti-henti berdoa agar proses kelahiran dipermudahkan. Progress juga semakin baik apabila hari semakin petang. Jururawat yang ada di situ juga turut gembira dengan progress tersebut. Sudah berkali-kali isteriku ulang-alik hospital dan keluar masuk wad kerana beberapa hal berkaitan bayi di dalam kandungan termasuklah telah overdue.
Sekitar jam 4.30 petang, isteriku berjalan ke tandas. Selepas menunaikan apa yang harus, isteriku mengadu kesakitan yang amat sangat. Sememangnya beliau telah pun menahan sakit sejak diinduce pada jam 7 pagi lagi. Tetapi kali ini sakitnya bukan kepalang. Sambil memapah isteriku ke katil, beliau memberitahu ada darah yang keluar. Selepas isteriku duduk di katilnya, dengan segera saya memanggil jururawat di situ.
Setelah diperiksa, progress dikatakan sangat baik. Memang bersedia untuk proses kelahiran. Kami sememangnya gembira. Walaubagaimanapun kegembiraan kami hanya seketika apabila jururawat di situ mengatakan apa yang dipegangnya seperti bukan kepala bayi. Allah Maha Berkuasa. DIA berhak ke atas segalanya. Beberapa jururawat bergegas datang untuk memeriksa seterusnya beberapa orang doktor. Dalam mereka memeriksa, saya dapat melihat satu pergerakan yang agak drastik pada perut isteriku. Anak kami kelihatan bergolak dan seperti membuat pusingan hampir 180 darjah.
Saya segera disuruh keluar dari bilik tersebut. Hanya dapat mengintai di balik tabir. Dilihat keadaan agak kelam kabut. Mereka cuba menjangka keadaan bayi yang masih lagi dalam kandungan. Pelbagai peralatan dibawa masuk selepas setiap satu tidak dapat mengesan degupan jantung bayi. Walaubagaimanapun akhirnya Pengesan Ultrasound dapat juga mengesan degupan jantung bayi. Akan tetapi dikatakan agak lemah, kerana itu sukar untuk dikesan.
Dalam pada itu, doktor bedah juga sudah mula kelihatan sibuk. Sehinggalah akhir doktor bedah bertemu denganku untuk memberitahu apa yang berlaku, untuk menjawab sedikit kekeliruan yang saya alami. Doktor memberitahu bahawa isteriku terpaksa dibedah. Saya segera membenarkannya, yang penting selamat. Doktor terdiam seketika setelah endengar kata-kataku. Selang beberapa minit, beliau menjelaskan keadaan isteriku apabila menjalani pembedahan nanti. Doktor turut memberitahu bahawa pembedahan tersebut dijangka mengambil masa yang lebih lama dari biasa.
Sepanjang penerangan doktor, saya mula menangkap ada maksud lain yang ingin doktor sampaikan. Rupa-rupanya doktor ingin saya bersedia untuk menerima kehilangan isteriku dan anakku yang masih di dalam kandungan berikutan keadaan yang berlaku secara tiba-tiba sebentar tadi. Komplikasi yang mana masih tidak dapat diterangkan lagi. Masih pada peringkat hipotesis.
Memang benar bahawa setiap kali ibu yang mahu melahirkan anak, sebenarnya mereka bertarung nyawa. Tetapi untuk keadaan yang normal, jarang ada doktor yang akan berpesan pada suami untuk bersedia menerima kehilangan ibu dan anak. Akan tetapi saya diberi kesempatan oleh Allah untuk merasai detik sedemikian rupa. Satu detik yang mungkin tidak akan luput dari ingatanku.
Dengan segera saya dan pasuka perubatan di situ mengusung isteriku ke dewan pembedahan. Saya dan isteri sempat bermaaf-maafan seolah-olah ia merupakan pertemuan kami yang terkahir. Walaubagaimanapun isteriku masih tidak tahu akan risiko yang sedang dihadapinya. Sengaja saya menyembunyikannya dengan harapan isteriku terus tabah bersemangat untuk meneruskan perjuangannya.
Kebetulan isteriku masuk ke dewan pembedahan pada jam 6.05 petang. Lagi beberapa minit lagi masuklah waktu maghrib bagi daerah Tawau. Selepas memberitahu ibuku dan ibu mertuaku bahawa isteriku kini di dalam dewan bedah, terus saya bergegas ke surau hospital. Lebih baik menunaikan solat maghrib daripada mundar mandir tak tentu hala. Alhamdulillah, dapat juga berjemaah di situ.
Selepas selesai, saya segera kembali menunggu di depan pintu dewan pembedahan. Baru sahaja beberapa minit saya sampai, petugas di dewan pembedahan itu memanggilku masuk. Datang seorang doktor wanita mengesahkan saya suami kepada isteri saya. Kemudian beliau memulakan beberapa penerangan mengenai apa yang sedang berlaku. Isteriku masih lagi dalam proses pembedahan.
Doktor memberitahu bahawa proses membedah dilakukan secepat mungkin, hanya 3 minit sudah dapat melihat bayi yang di dalam kandungan. Walaubagaimanapun Allah Maha Berkuasa. DIA berkehendak ke atas segalanya. Doktor memberitahu bahawa sebaik sahaja kulit dan otot isteriku dibedah, mereka terus nampak bayi kami. Bermakna bayi kami sudah berada di luar rahim. Bukan di dalam rahim. Anakku telah lahir, keluar dari rahim tapi bukan seperti bayi-bayi yag lain. Anakku berada di luar rahim dan berada di celah-celah organ isteriku. Rahim isteriku pecah menyebabkan anakku di dalam rahim telah pun terkeluar dari rahim. MasyaAllah..... Allah Maha Besar.
Disebabkan bayi sudah lahir, maka secara normalnya bekalan oksigen dan makanan diputuskan dari ibu dan bayi akan mula bernafas seperti biasa menggunakan hidung. Akan tetapi disebabkan kedudukan bayiku dicelah-celah organ iaitu masih di dalam badan isteriku, maka degupan jantung anakku menjadi semakin lemah. Doktor telah cuba sedaya upaya untuk mengekalkan degupan jantung anakku. Walaubagaimanapun Allah lebih menyayanginya.
Sambil doktor memberitahu kegagalan mereka menyelaatkan anakku, beberapa petugas di situ mengusung anakku kepadaku. Tanpa berkata apa-apa, saya hanya mampu menatap dan memeluk tubuh anakku yang kaku. Beratnya 3.6kg. Cukup sifatnya sebagai seorang bayi perempuan. Sesuai dengan namanya Nurfatihah Humairah. Cantik, putih.
Kemudian saya bertanyakan keadaan isteriku. Doktor memberitahu bahawa isteriku masih lagi dibedah. Mereka cuba sedaya upaya menyelamatkan rahim isteriku yang telah pecah. Saya hanya pasrah pada ketika itu kerana doktor masih lagi memberitahu bahawa saya masih perlu bersedia untuk menerima kehilangan isteriku juga kerana komplikasi yang berlaku itu. Tiada apa yang dapat saya lakukan. Hanya berserah kepada Allah dan membiarkan doktor-doktor menjalankan tannggungjawab mereka untuk menyelamatkan isteriku sedaya upaya mereka. Doktor juga berusaha supaya rahim isteriku dapat diselamatkan. Kemungkinan besar isteriku tidak dapat memberikan zuriat seterusnya untukku. Tawakal saja yang mampu saya lakukakn pada ketika itu disamping berdoa. Usaha apa yang boleh saya lakukan ketika itu, saya bukan doktor.
Saya dan petugas di situ mula menyusung jenazah anak saya ke wad isteriku. Alhamdulillah isteriku diberikan wad kelas 1. Lebih privasi. Dalam pada itu saya harus kuat. Banyak perkara yang perlu diuruskan. Saya meminta petugas di situ untuk menjaga jenazah. Saya perlu balik ke rumah untuk menjemput ibu mertuaku dan anak sulungku. Alhamdulillah saya dapat memandu dengan baik walaupun dalam keadaan sedemikian. Ibu mertuaku dan anak sulungku selamat saya bawa ke hospital. Sedih ibu mertuaku melihat jenazah cucunya. Begitu juga ibuku yang saya beritahu melalui telefon. Mereka semua gembira bila mendapat tahu apabila isteriku melahirkan Nurfatihah Humairah binti Muhammad Rahmat. Tetapi kegembiraan yang hanya seketika apabila diberitahu bahawa Nurfatihah Humairah telahpun terbujur kaku tidak bergerak.
Walaupun dalam keadaan yang sedih, isterku masih lagi di dewan pembedahan. Setiap progres saya tanya pada petugas di bilik itu. Sambil menunggu isteriku, saya memberitahu kawan-kawan sepejabat memaklumkan hal yang berlaku. Alhamdulillah pada jam 9 malam, isteriku telah selesai menjalani pembedahan dan dikatakan sudah berada dalam keadaan stabil. Setengah jam diperlukan sebelum isteriku di bawa masuk ke wadnya. Saya berasa sangat lega pada ketika itu. Alhamdulillah, mungkin tanggungjawab isteriku di dunia ini beum selesai lagi. Maka itu Allah memberikan lagi peluang kepada beliau. Walaupun sedih tapi saya sangat gembira sebaik sahaja dapat bercakap sepatah dua kata dengan isteri yang baru sahaja berjuang bertarung nyawa.
Alhamdulillah seorang demi seorang rakan-rakan mula muncul di wad isteriku, tanpa sokongan moral yang mana kami sangat-sangat perlukan. Disamping itu kami telah mula berbincang mengenai pengebumian jenazah anak kedua saya nanti. Antara perkara yang menjadi isu adalah adakah isteriku akan diberi peluang menatap dan mendakap jenazah anak kami?
Majoriti rakan wanita berkeras agar saya memberi isteriku peluang menatap wajah anaknya buat kali terakhir. Majoriti rakan lelaki pula memberitahu bahawa elok disegerakan pengebumian jenazah dan tak perlu memberi peluang isteriku menatap jenazah buat kali terkahir kerana khuatir dengan keadaan isteriku. Ia juga merupakan antara perkara yang agak berat untuk saya buat keputusan. Ia menjadi amat berat kerana doktor turut mengatakan bahawa isteriku masih belum tahu lagi bahawa anak kami suda tiada. Bagaimana agaknya keadaan isteriku sekiranya diberitahu tentang Nurfatihah Humairah?
Walaubagaimanapun akhirnya saya memutuskan untuk memberi peluang isteriku melihat anak kami buat kali terakhir. Jenazah akan dikebumikan pada esok pagi. Saya mempunyai masa sehingga subuh esok untuk memberitahu isteriku tentang Nurfatihah Humairah.
Nurfatihah Humairah binti Muhammad Rahmat
Al-Fatihah buat anakku.....
Mak, abah dan abang Taufiq akan tetap mengingatimu biarpun hadirmu sekadar satu persinggahan yang hanya sebentar.