Monday, April 29, 2013

Step-By-Step: Basic Piping Jelly Image

Assalamulaikum,

Hari ini sekadar ingin berkongsi cara buat image pada kek menggunakan teknik yang paling ringkas. Cuma teknik ni ada drawback dia, tak boleh buat atas kek disalut ganache atau kek fresh cream. Sebabnya fresh cream takkan keras dan masih melekit-lekit walaupun dah letak dalam peti sejuk, dan kek yang disalut ganache terlalu kelam/hitam untuk memperlihatkan warna piping jelly.

Biasa kalau kek yang dilukis menggunakan piping jelly hanya untuk kek-kek buttercream sahaja. Sebabnya buttercream akan mengeras bila disimpan dalam peti sejuk, jadi masa buat transfer image dari kertas transparency ia tak melekat pada kek.

Makcik malas nak cerita banyak, jadi kita teruskan tengok cara-cara melukis atas kek menggunakan piping jelly:


Step-By-Step: Basic Piping Jelly Image
Bahan:
Piping jelly berwarna (ikut warna lukisan yang ingin ditiru)
Piping beg
1 keping kertas lutsinar/transparency paper
Kek disalut buttercream (simpan dalam peti sejuk sampai bc keras)
Image yang ingin ditiru

Cara:
1. Sediakan semua peralatan dan bahan-bahan termasuk kek.
2. Letak transparency paper atas kertas image yang ingin ditiru. Pastikan kertas dikepil/diselotap bersama untuk elak ia bergerak ketika piping.
3. Pipekan outline image menggunakan warna yang agak gelap (untuk bagi image lebih menonjol).
4. Alihkan transparency paper dari kertas image. Terbalikkan transparency paper di atas kek yang sudah keras. Perlahan-lahan gosokkan transparency paper hingga piping jelly ditransfer atas kek.
5. Alihkan transparency paper. Outline yang dilukis tadi akan ditransfer di atas kek. Bolehlah warnakan kek mengikut warna image sebenar.


NOTE:
- Masa nak transfer piping jelly jangan terlalu berlengah-lengah, nanti buttercream akan cair dan transparency paper akan melekit-lekit pada kek.
- Kalau piping jelly terlalu pekat, boleh dilute dengan sedikit air.
- Teknik ni hanya untuk buttercream, tak berapa sesuai untuk kek fresh cream sebab transparency paper akan melekat pada kek. Lagipun warna piping jelly senang 'bleeding' pada kek fresh cream (terutama kalau fresh cream berair dan tak dipukul dengan kental).
- Kalau nak cuba guna piping jelly atas kek fresh cream, pastikan ada 'pemisah' antara fresh cream dan piping jelly. Contohnya, buat outline yang lebih tebal dari biasa menggunakan ganache di antara dua warna berbeza dan di antara fresh cream. Jadi piping jelly (yang berwarna dan bersifat water-base) tak mudah nak 'bleeding' ke background kek yang dilepa dengan fresh cream.


Contoh dummy cake yang menggunakan teknik piping jelly image transfer

Wednesday, April 24, 2013

Resepi Fudgey Brownies

Assalammualaikum,

Lama tak bersiaran, apa khabar? Hehe.. Makcik kat sini sihat-sihat aje, takde perkembangan apa-apa kat Tawau jela. Buat kelas sana sini, godek-godek resepi lama sana sini, kacau orang sana sini. Hihihi..

Sejak beberapa hari ni tekak terasa nak makan kek. Tapi tak tahu nak pilih apa, kek span biasa, kek butter, brownies. Arini makcik pilih brownies, saja try test resepi yang lom pernah dicuba :P Nak makan brownies yang mewah dengan rasa coklat (tentunya kena guna dark compound) tapi taknak yang rasa macam kek kukus atau kek yang biasa-biasa tu. Tu akhirnya makcik pilih resepi di bawah, kena lak dengan tekak makcik. Tapi biasalah, tua-tua ni (baru 31 tua ke?) nak makan tak berapa banyak, takat tekak rasa best tu oklah. Jadi bahagi-bahagi la sikit kat jiran tetangga. Hehe..

Apapun layan~ Resepi ni sedap cuma jangan terlebih masak, kang kering lak tepi-tepinya tu :P


Resepi Fudgey Brownies
(8"x8" atau 9"x9")



A: 
120g butter
225g dark compound chocolate - ku guna beryl's 
***Double boil hingga cair.

B: 
130g tepung gandum
30g serbuk koko
1/2st baking power
1/2st garam- abaikan kalau guna salted butter 
***Ayak dalam satu bekas. 

C: 
150g gula perang- ku guna gula kastor
1/2st esen vanila
3 biji telur

Cara: 
1. Sediakan bahan A. Biarkan suam baru masukkan bahan C.
2. Masukkan Bahan B, gaul rata guna whisk. Adunan akan pekat.
3. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu 175C@ 20-25 minit atau hingga tepi kelihatan masak.
4. Sejukkan atas redai 5 minit baru keluarkan dari loyang. Tunggu suam sikit baru potong.

p/s: Untuk dapatkan permukaan berkedut2/berpecah2 yang berkilat, cairkan gula bersama coklat dan butter tadi.

Tuesday, March 5, 2013

Pray For Sabah

Assalamualaikum,

Mari kita doakan keselamatan penduduk-penduduk di Sabah terutama pejuang-pejuang kami PDRM dan polis. Amin..

p/s: Segala tempahan ditutup buat sementara hingga keadaan kembali pulih. TQ..


Thursday, February 28, 2013

Terima Kasih Buat Suamiku

Mungkin ramai yang sangka, saya memang dilahirkan dengan bakat semulajadi untuk membuat kek dan berniaga.

Sebenarnya tidak sama sekali.

Terus terang saya katakan, sebelum saya berkahwin, knowledge saya tentang kek dan bisnes memang zero. Nil. Kosong. Saya tak tahu langsung tentang perniagaan, tak tahu langsung tentang kek. Dan tak tahu langsung saya sebenarnya ada kebolehan dalam menghias kek (walaupun tak seberapa mana pun sebenarnya :P)

Masa awal-awal kahwin dulu, saya sangka saya akan 'berkerja' seperti suami saya di Kolej Komuniti Tawau. Menjadi pensyarah kolej. Bergaji tetap. Typical pegawai kerajaan. Buat kerja-kerja ofis sikit, mengajar budak-budak elektrik. (Kalau sekarang anda tanya saya tentang elektrik dan wiring, konfem saya akan fail. Hehehe..) Setelah melahirkan Taufiq dan setelah beberapa tahun berlalu, saya sedar haluan mengajar subjek elektrik bukanlah jalan yang telah ditetapkan untuk saya. Allah telah merancang sesuatu yang tidak pernah terlintas langsung dalam kepala saya. Iaitu berniaga membuat kek.

Kalau ikutkan sebenarnya saya takde niat langsung nak berniaga. Ye la, kek pun buat asik tak jadi je masa time belajar dulu. Pula tu subjek Prinsip Akaun pun saya tak faham (dulu amik sains dengan subjek PA sekali kat sekolah). Apa lagi bab berbisnes ni. Ikutkan dulu kira modal bahan pun saya fail, hehehe.. Tapi alhamdulillah, berkat dari kehidupan yang serba serbi mencabar di bumi Tawau ini, ditambah dengan didikan serta bimbingan suami, saya mula berani mengambil tindakan menjual kek dengan kawan-kawan terdekat.

Teringat lagi kek yang pertama saya jual adalah coklat moist. Keknya berat 1kg, bahan-bahan yang saya gunakan dahulu bahan branded seperti Tudor Gold dan Vochelle. Kalau ikut kira-kira sekarang, guna bahan-bahan sama, harga jualan RM40/kg guna bahan branded memang hanya balik modal saja dan untungnya beberapa ringgit je. Tapi maklumlah, baru nak berbisnes. Lagipun zaman dulu kurang/takde saingan. Kawan-kolej memang selalu order dengan saya, lagipun keknya saya jual agak murah dalam RM30 je. Hehe.. Masa awal dulu suami dah ajar cara kira kos bahan dan untung rugi. Kalau ikut harga bahan pada zaman tu memang masih boleh dimaafkan lagi. Cuma sebab sifat terlalu kesian yang ada dalam diri saya, saya telah letakkan kira-kira yang paling minimum untuk semua bahan kek saya. Contohnya, 1kg gula masa tu baru RM1.60/kg. Jadi dalam kira-kira saya anggap RM1.60/kg relevan untuk 3, 4 tahun akan datang. Tetapi selang setahun harga gula pula naik mencecah RM2/kg. Termasuklah harga bahan-bahan lain seperti tepung gandum, serbuk koko dan susu pekat manis. Walaupun tiap barang kenaikannya cuma 40sen (ada yang sampai naik RM5 dalam masa tak sampai setahun), disebabkan semua bahan tersebut naik serentak maka untung/rugi saya pun affected. Bayangkan kalau guna 10 jenis bahan, semua naik 40sen hingga  RM5. Jadi mesti kita akan terasa sikit kan? Pula tu saya memang ambil untung cukup-cukup makan saje, bila selang 1, 2 tahun margin keuntungan pun makin kurang dan kos modal makin naik. Hehehe.. Tula siapa suruh baik sangat :P

Disebabkan margin untung saya makin kurang, saya mula risau. Dan suami saya mengajar saya membuat ramalan harga bahan-bahan pada masa akan datang. Kos bahan mentah tetap akan naik, sukar untuk ia turun. Suamiku mengajar membuat ramalan, harga maksimum bahan itu akan naik dalam masa 2, 3 tahun akan datang. Dan dia suruh saya membuat survey harga pasaran yang paling tinggi di tempat tinggal kami. Contohnya, jika biasanya saya beli telur harga RM0.42 sebiji untuk telur gred A di pasar, ada tak kemungkinan saya terpaksa membeli di kedai lain yang harganya RM0.50 sebiji? Sebenarnya memang itu pun berlaku, jika saya terpaksa beli secara emergency di kedai belakang. Jadi untuk kiraan saya mula mengambil kira faktor-faktor begitu, kenaikan harga bahan dalam masa 1, 2 tahun dan kes emergency jika saya terpaksa membeli di tempat lain yang harganya jauh lebih mahal.

Sebenarnya banyak saya belajar dari suami saya. Mak mertua saya biasa buat kek. Jadi suami saya biasa melihat dan menolong maknya membuat kek. Suami saya pula memang rajin menolong maknya di dapur, maklumlah anak sulung dari 10 orang adik beradik. Sejak kecil lagi suamiku telah didik untuk menjual kuih muih di depan rumah dan di tepi jalanan. Bukan itu saja, dia memang biasa menolong maknya memasak di dapur, sebenarnya kalau bab makanan dia la pengkritik paling hebat. Andaikata makanan yang saya masak kurang masin, dia akan berterus terang dengan saya. Dari situ saya cuba baiki mana-mana kelemahan dalam masakan saya. Sekiranya dia rasa kombinasi perisa kek saya kurang memuaskan, dia akan bagitahu. Awal-awal dulu memang saya rasa kecil hati, tak sedap ke saya masak.. Tetapi sebab kritikan dan cadangan pembaikan dari dia yang membuatkan saya lebih keyakinan untuk memperbaiki produk-produk saya, tak kiralah masakan biasa ataupun kek. Pada saya kritikan itu perlu, kalau kita ingin memperbaiki diri sendiri. Tetapi biarlah dalam kita mengkritik kita juga memberi cadangan-cadangan supaya ia dapat menjadi lebih baik. Dan adab memberi kritikan pun perlu dijaga, dikhuatiri orangnya akan terlebih sensitif. Contohnya, jika ingin menegur biarlah tegur dalam keadaan tiada orang lain. Ataupun komen di ruang PM di facebook. Jaga air muka orang, janganlah bagi orang melihat kita menegur dia depan orang ramai (kecuali dia jenis orang yang mudah ditegur dan tak mudah ambil hati). Jika cara itu pun dia masih tak dapat terima, ada kemungkinan dia bersifat egoist dan memang langsung tak boleh ditegur. Hihihi..

Berbalik kepada berniaga kek, suami saya turut ajar bagaimana kita mengolah sesuatu resepi andaikata ada bahan dalam tersebut tiada dalam stok. Contohnya, kalau biasa kita masak guna kuah Yong Tau Fu guna gelaka melaka tetapi stok gula melaka tiada, suami saya mengajar menggunakan bahan yang seakan dengannya, misalnya gula perang. Dari segi warna ia tak terlalu beza, dan dari segi manis pun tak terlalu jauh. Biarpun tiada gula melaka kita masih dapat memasak menggunakan gula perang, walaupun dari segi rasa ia mungkin sedikit berlainan, tetapi kuah Yong Tau Fu tetap dapat dimasak. Cara ini juga telah saya apply ke dalam kek. Sekiranya resepi mengatakan guna lemon jus untuk cheesecake, saya akan guna bahan yang terdekat iaitu jus limau kasturi. Pokok pun ada di depan rumah, kos pun jimat. Tetapi harus kita ingat, apabila kita cuba mengolah resepi bahan-bahan ini, ilmu dan sedikit pengetahuan perlu ada. Dalam bab cheesecake di atas, saya menggantikan lemon jus dengan jus limau kasturi sebab saya hanya mahukan rasa masamnya. TETAPI sekiranya kek tersebut memang resepi Lemon Cheesecake, kita gantikan dengan jus limau kasturi, sudah tentu resepinya akan berubah kepada Limau Kasturi Cheesecake. Jadi dalam mengolah sesuatu resepi, kita harus sertakan dengan sedikit ilmu, pengetahuan serta logik akal. Janganlah kita ikut resepi bulat-bulat dan terus 'stuck' bila ada bahan yang tiada dalam stok, tetapi janganlah juga kita sesuka hati mengubah resepi tanpa mengetahui apa sebenarnya yang kita buat. Itulah pesan dari suami saya, dan selama ini saya pegang dalam tiap masakan dan hidupan harian saya. Alhamdulillah.. Syukur padamu ya Allah kerana memberiku pasangan hidup yang paling hebat di mataku...

Buat suamiku, terima kasih kerana mendidik ku menjadi begini. Fikiranku lebih luas, tidak terkongkong pada satu teknik, bahan atau kaedah sahaja. Terima kasih kerana mengajar ku tentang bisnes dan ramalan, dan terima kasih kerana masih bersamaku dalam susah dan senang. Terima kasih kerana mendidik dan membimbingku sehingga aku dapat mengendalikan kelas kek sendiri dengan yakin, walaupun hakikatnya aku tak pernah pergi mana-mana kelas kek sebelum ini.

Terima kasih buat suamiku Muhammad Rahmat, semoga kita saling kuat menempuhi segala cabaran di dunia ini. Amin..



Banyak korban, banyak faham;
Kurang korban, kurang faham;
Tidak korban, SALAH faham.



Salah faham kerana disangkanya faham rupa-rupanya sebaliknya.
Lebih baik tak faham daripada salah faham, kerana sedar akan ketidakfahamannya.
Bermujahadahlah dalam menuntut ilmu, insyaa Allah pemahaman kita akan lebih kuat dan berkat.

Wednesday, February 27, 2013

Nak tahu kenapa Islam menggalakkan umatnya berniaga?

Nak tahu kenapa Islam menggalakkan umatnya berniaga?

Yang pertama.. Orang yang berniaga ni tidak ada boss kan? Dah tentu dialah boss untuk bisnesnya sendiri? Jadi, orang yang berbisnes ni lebih DIRECT CONNECTIONnya dengan ALLAH.. Dia tak ada boss.. Dia minta DIRECT dengan Allah.. CONNECTION dia sepatutnya sangat KUAT dengan ALLAH.. Kerana dia tak ada gaji yang dah memang tetap masuk dalam bank setiap hujung bulan. Dia tak ada boss untuk merujuk jika ada masalah..yang ada hanyalah ALLAH.. Dia sepatutnya sangat memerlukan ALLAH..sangat BERGANTUNG pada ALLAH..sangat MEMINTA-MINTA pada ALLAH..sangat BERSYUKUR di atas nikmat yang ALLAH berikan.. Itulah antara kecantikan yang lebih mendalam tentang kelebihan orang yang berniaga..

Sebab kedua pula ialah.. Orang Islam perlu berbisnes kerana boleh menjadi seperti beliau.. Yang dimaksudkan di sini ialah.. Hanya orang yang berbisnes sahaja yang mempunyai kelapangan masa dan wang ringgit untuk menjalankan aktiviti melebarkan dakwah Islam.. Dari segi wang ringgit dah semestinya mampu untuk digunakan untuk aktiviti berdakwah dan untuk menyara keluarga semasa ketiadaannya.. Dan, orang yang berniaga juga mempunyai kelapangan masa atau masa lebih fleksibel, tidak perlu mengambil unpaid leave untuk bercuti berdakwah.. ALLAHU AKBAR!.. 

-dipetik dr Blog Adamarisya-

Tuesday, February 26, 2013

Sifat-sifat Yang Harus Dijauhi Oleh Penuntut Ilmu

Sifat-sifat Yang Harus Dijauhi Oleh Penuntut Ilmu

1) Hasad (Iri hati dan dengki)
Pesan Rasulullah SAW bermaksud :

"Janganlah kalian saling benci-membenci, saling memutuskan hubungan, saling berdengki, saling bermusuhan. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara".
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

2) Ta'asub (fanatik)
Syaikh Islam Ibnu Taimiyah telah berkata di dalam kitabnya "Iqtidho Sirathol Mustaqim" :

"Barangsiapa mewajibkan dirinya untuk bertaqlid (mengikut) kepada seorang imam (guru/ketua/pemimpin) tertentu (dengan menolak pendapat imam yang lain) maka dia diminta untuk bertaubat kerana sifat mewajibkan dirinya untuk bertaqlid dengan seseorang imam itu boleh menimbulkan sifat syirik (menduakan) Allah SWT .

3) Menjauhi maksiat
Penuntut ilmu perlu menjauhi maksiat sama ada ianya berupa dosa kecil mahupun dosa besar kerana orang yang menjaga diri dari melakukan maksiat mudah mendapat ilmu serta hidayah Allah SWT.

4) Sombong
Penuntut ilmu perlu bersikap tawadhuk (rendah diri) dengan ilmu yang dimilikinya. Tidak sesekali menduga ilmu kepada orang sekeliling lebih-lebih lagi kepada guru semata-mata untuk mengukur serta menunjukkan kehebatan yang dia miliki.

5) Malas 

6) Mudah putus asa

Sunday, February 24, 2013

Kelas Bake and Deco 2

Assalamualaikum,

Alhamdulillah.. Selesai lagi kelas Bake and Deco 2 'Choc and Cheese' yang kali ke-3. Hehe, penat jangan cakaplah ye memang sakit tumir mak Taufiq ;p Banyak saya belajar dalam handling kelas, macam-macam dugaan dan halangan diperolehi ;p hehehe.. Apapun syukur alhamdulillah sebab dapat sampaikan ilmu manfaat pada orang, mudah-mudahan dapat digunakan sebaiknya.



Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | JCpenney Printable Coupons