Monday, May 23, 2011

Resepi Durian Souffle

0

Resepi durian lagi, walaupun mungkin sekarang durian dah tak jual lagi. Kali ni buat souffle, saje simpan sikit durian aritu nak test resepi ni. Dapat dalam 2 cawan minum biasa, one for me and one for En. Hubby. Rasa seakan pudding tapi berperisa durian. Lembut, manis-manis gitu. Sedap makan masa panas-panas sebab 'souffle'nya masih tinggi. Dibiarkan lama-lama akan jatuh menyembah cawan, hehe..

Apapun, enjoy~

Resepi Durian Souffle
(3-4 cawan minum biasa atau souffle cups)

Resepi asal: Muchabout

(Ku buat separuh dari resepi di bawah dan dapat 2 cawan biasa)

Durian souffle yang dah dibedah siasat. Terasa seperti makan pudding durian, huhu..

Kesian..takde ramekin, cawan biasa pun jadilah..


Bahan:
4 ulas durian, diambil isinya - ku guna 4sb @ 80g isi durian approx. bagi 2 ulas durian
1/2C susu - ku guna 1/4C air+ 1st susu tepung penuh krim
2sb butter, dicairkan - ku guna 1sb@10g
1/4st cream of tartar - ku guna 1/8st
2st gula kastor - ku guna 1st
3 biji kuning telur - ku guna 2 biji kuning telur Gred A (malas membazir)
4 biji putih telur - ku guna 2 biji putih telur Gred A

Untuk lengser ramekin cup/cawan minum biasa oven-proof:
secukup butter cair
secukup gula kastor
berus plastik


Cara:
1. Panaskan oven 375F/190C.

2. Lengserkan dasar dan sisi cawan (pastikan ia oven proof dahulu) dengan butter cair secukupnya. Cara melengser adalah dengan menggunakan berus, lengser dasarnya dahulu. Kemudian dari bawah sisi cawan, naikkan berus ke atas hingga mencecah muncung cawan (seperti yang ditunjukkan oleh anak panah dalam gambar di bawah).

Cara lengser ramekin/cawan: dari bawah ke atas cawan.


3. Pastikan keseluruhan dasar dan sisi cawan dilengser, jangan biarkan biar sedikit pun yang tak kena. Sangat penting bagi memastikan souffle naik dengan sempurna.

4. Simpan cawan dalam peti sejuk hingga butter keras dalam 2-3 minit.

5. Keluarkan cawan dari peti sejuk dan sekali lagi lengser dengan butter. Gunakan pergerakan yang sama. Ambil sedikit gula kastor dan letakkan ke dalam cawan. Pusing-pusingkan cawan supaya keseluruhan dasar dan sisi cawan disaluti gula. Step ini penting dan perlu dilakukan dengan betul. Ketepikan cawan (tak perlu disimpan dalam peti sejuk sebab dah disejukkan pada lengseran pertama tadi).

Sudah dilengser butter 2 kali dan disaluti gula kastor.


6. Dalam blender, masukkan isi durian, susu dan butter cair. Blend hingga halus. Tuangkan adunan durian ke dalam bekas besar. Masukkan telur dan 1/2st gula dan adun hinga sebati. Ketepikan.

Adunan durian, telur, gula, susu dan butter cair.


7. Dalam bekas lain, pukul putih telur hingga berbuih. Masukkan cream of tartar dan baki 1/2st gula, pukul lagi pada kelajuan maksima. Pukul hingga stiff peak (bila bekas diterbalikkan, tiada putih telur yang mengalir atau jatuh).

8. Ambil 1/3 putih telur dan kaup balikkan ke dalam adunan durian menggunakan spatula atau sudip kayu. Kaup balik hingga rata.

Kaup balik meringue ke dalam adunan durian. Mungkin awalnya ada sedikit ketulan-ketulan putih meringue.


9. Ambil lagi 1/3 putih telur dan kaup balikkan perlahan-lahan supaya udara yang dimasukkan tidak keluar. Ulangi dengan baki putih telur.

10. Tuang atau sudukan adunan ke dalam cawan yang dilengser butter tadi. Tuang hingga hampir paras muncung cawan (kurang dari 1 atau 2mm dari paras muncung). Pastikan tiada adunan yang terkeluar atau meleleh dari cawan kerana ia akan melekat pada cawan dan menghalang souffle dari naik dengan sempurna.

Tuangkan adunan ke dalam cawan yang dilengser butter. Perhatikan ada sedikit ketulan kecil meringue. Abaikan, kalau terlalu kaup balik nanti tak cukup udara untuk 'lift' adunan.


11. Bakar souffle selama 15-20 minit atau hingga atasnya keperangan dan naik paling kurang 1.5" dari paras cawan.

Souffle mula naik dalam oven (sila abaikan suhu termometer, oven ni suhu bahagian depan lebih rendah dari belakang atau tengah) .


12. Keluarkan dari oven dan makan panas-panas.


INFO TAMBAHAN:
***Cara lengser untuk souffle cup/cawan ni saya ikut cara Curtis Stone. Sebab kita lengser/sapu dari bawah ke atas untuk elak terguna lebih butter. Tengok kat AFC pun dalam "Saturday Cooks" diorang guna 'sweeping motion'- ambil napkin/tisu ada butter cair, lepas tu dalam satu pergerakan membulat (rotating motion) dari bawah ke atas ramekin, diorang lengser sekali harung je.

***Ketinggian souffle akan mula turun selepas beberapa minit (sebab tak guna tepung dan rising agent cuma putih telur sahaja). Jadi jangan sedih/frust/terkejut bila lepas 2-3minit souffle anda dari naik cantik tetiba jadi rendah bila dah keluar dari oven. Itu memang lumrah hidup souffle, jangka hayat memang pendek.

0 comments: