Tuesday, August 2, 2011

Nurfatihah Humairah hanya sekadar singgah sebentar

24

ENTRY dari suamiku Duokino@
http://www.duokino.com/2011/08/nurfatihah-humairah-hanya-sekadar.html

Pada pagi 25 Julai 2011, saya diberitahu oleh isteri yang telah beberapa hari ditahan di wad hospital bahawa beliau akan diinduce kerana anak kedua kai yang di dalam kandungan telah melebihi tarikh due. Setelah menguruskan anak sulungku, dengan segera aku bergegas ke hospital. Mudah-mudahan isteriku selamat melahirkan anak kedua kami.

Sepanjang pagi dilihat bahawa progress isteri dan anakku adalah baik. Sepanjang masa degupan jantung anakku yang masih di dalam kandungan dipantau rapi. Sekuran-kurangnya 3 jam isteriku terpaksa berdiam bagi memastikan kelancaran proses memantau degupan jantung bayi di dalam kandungan. Beritahu isteriku bahawa biasanya hanya mengambil masa setengah sahaja. Mungkin pihak hospital mahukan pemantauan yang lebih rapi.

Alhamdulillah, pada tengahari dapat dilihat tanda-tanda kelahiran bayi dimana bukaan bagi laluan kelahiran bayi semakin luas. Saya dan isteri tak henti-henti berdoa agar proses kelahiran dipermudahkan. Progress juga semakin baik apabila hari semakin petang. Jururawat yang ada di situ juga turut gembira dengan progress tersebut. Sudah berkali-kali isteriku ulang-alik hospital dan keluar masuk wad kerana beberapa hal berkaitan bayi di dalam kandungan termasuklah telah overdue.

Sekitar jam 4.30 petang, isteriku berjalan ke tandas. Selepas menunaikan apa yang harus, isteriku mengadu kesakitan yang amat sangat. Sememangnya beliau telah pun menahan sakit sejak diinduce pada jam 7 pagi lagi. Tetapi kali ini sakitnya bukan kepalang. Sambil memapah isteriku ke katil, beliau memberitahu ada darah yang keluar. Selepas isteriku duduk di katilnya, dengan segera saya memanggil jururawat di situ.

Setelah diperiksa, progress dikatakan sangat baik. Memang bersedia untuk proses kelahiran. Kami sememangnya gembira. Walaubagaimanapun kegembiraan kami hanya seketika apabila jururawat di situ mengatakan apa yang dipegangnya seperti bukan kepala bayi. Allah Maha Berkuasa. DIA berhak ke atas segalanya. Beberapa jururawat bergegas datang untuk memeriksa seterusnya beberapa orang doktor. Dalam mereka memeriksa, saya dapat melihat satu pergerakan yang agak drastik pada perut isteriku. Anak kami kelihatan bergolak dan seperti membuat pusingan hampir 180 darjah.

Saya segera disuruh keluar dari bilik tersebut. Hanya dapat mengintai di balik tabir. Dilihat keadaan agak kelam kabut. Mereka cuba menjangka keadaan bayi yang masih lagi dalam kandungan. Pelbagai peralatan dibawa masuk selepas setiap satu tidak dapat mengesan degupan jantung bayi. Walaubagaimanapun akhirnya Pengesan Ultrasound dapat juga mengesan degupan jantung bayi. Akan tetapi dikatakan agak lemah, kerana itu sukar untuk dikesan.

Dalam pada itu, doktor bedah juga sudah mula kelihatan sibuk. Sehinggalah akhir doktor bedah bertemu denganku untuk memberitahu apa yang berlaku, untuk menjawab sedikit kekeliruan yang saya alami. Doktor memberitahu bahawa isteriku terpaksa dibedah. Saya segera membenarkannya, yang penting selamat. Doktor terdiam seketika setelah endengar kata-kataku. Selang beberapa minit, beliau menjelaskan keadaan isteriku apabila menjalani pembedahan nanti. Doktor turut memberitahu bahawa pembedahan tersebut dijangka mengambil masa yang lebih lama dari biasa.

Sepanjang penerangan doktor, saya mula menangkap ada maksud lain yang ingin doktor sampaikan. Rupa-rupanya doktor ingin saya bersedia untuk menerima kehilangan isteriku dan anakku yang masih di dalam kandungan berikutan keadaan yang berlaku secara tiba-tiba sebentar tadi. Komplikasi yang mana masih tidak dapat diterangkan lagi. Masih pada peringkat hipotesis.

Memang benar bahawa setiap kali ibu yang mahu melahirkan anak, sebenarnya mereka bertarung nyawa. Tetapi untuk keadaan yang normal, jarang ada doktor yang akan berpesan pada suami untuk bersedia menerima kehilangan ibu dan anak. Akan tetapi saya diberi kesempatan oleh Allah untuk merasai detik sedemikian rupa. Satu detik yang mungkin tidak akan luput dari ingatanku.

Dengan segera saya dan pasuka perubatan di situ mengusung isteriku ke dewan pembedahan. Saya dan isteri sempat bermaaf-maafan seolah-olah ia merupakan pertemuan kami yang terkahir. Walaubagaimanapun isteriku masih tidak tahu akan risiko yang sedang dihadapinya. Sengaja saya menyembunyikannya dengan harapan isteriku terus tabah bersemangat untuk meneruskan perjuangannya.

Kebetulan isteriku masuk ke dewan pembedahan pada jam 6.05 petang. Lagi beberapa minit lagi masuklah waktu maghrib bagi daerah Tawau. Selepas memberitahu ibuku dan ibu mertuaku bahawa isteriku kini di dalam dewan bedah, terus saya bergegas ke surau hospital. Lebih baik menunaikan solat maghrib daripada mundar mandir tak tentu hala. Alhamdulillah, dapat juga berjemaah di situ.

Selepas selesai, saya segera kembali menunggu di depan pintu dewan pembedahan. Baru sahaja beberapa minit saya sampai, petugas di dewan pembedahan itu memanggilku masuk. Datang seorang doktor wanita mengesahkan saya suami kepada isteri saya. Kemudian beliau memulakan beberapa penerangan mengenai apa yang sedang berlaku. Isteriku masih lagi dalam proses pembedahan.

Doktor memberitahu bahawa proses membedah dilakukan secepat mungkin, hanya 3 minit sudah dapat melihat bayi yang di dalam kandungan. Walaubagaimanapun Allah Maha Berkuasa. DIA berkehendak ke atas segalanya. Doktor memberitahu bahawa sebaik sahaja kulit dan otot isteriku dibedah, mereka terus nampak bayi kami. Bermakna bayi kami sudah berada di luar rahim. Bukan di dalam rahim. Anakku telah lahir, keluar dari rahim tapi bukan seperti bayi-bayi yag lain. Anakku berada di luar rahim dan berada di celah-celah organ isteriku. Rahim isteriku pecah menyebabkan anakku di dalam rahim telah pun terkeluar dari rahim. MasyaAllah..... Allah Maha Besar.

Disebabkan bayi sudah lahir, maka secara normalnya bekalan oksigen dan makanan diputuskan dari ibu dan bayi akan mula bernafas seperti biasa menggunakan hidung. Akan tetapi disebabkan kedudukan bayiku dicelah-celah organ iaitu masih di dalam badan isteriku, maka degupan jantung anakku menjadi semakin lemah. Doktor telah cuba sedaya upaya untuk mengekalkan degupan jantung anakku. Walaubagaimanapun Allah lebih menyayanginya.

Sambil doktor memberitahu kegagalan mereka menyelaatkan anakku, beberapa petugas di situ mengusung anakku kepadaku. Tanpa berkata apa-apa, saya hanya mampu menatap dan memeluk tubuh anakku yang kaku. Beratnya 3.6kg. Cukup sifatnya sebagai seorang bayi perempuan. Sesuai dengan namanya Nurfatihah Humairah. Cantik, putih.

Kemudian saya bertanyakan keadaan isteriku. Doktor memberitahu bahawa isteriku masih lagi dibedah. Mereka cuba sedaya upaya menyelamatkan rahim isteriku yang telah pecah. Saya hanya pasrah pada ketika itu kerana doktor masih lagi memberitahu bahawa saya masih perlu bersedia untuk menerima kehilangan isteriku juga kerana komplikasi yang berlaku itu. Tiada apa yang dapat saya lakukan. Hanya berserah kepada Allah dan membiarkan doktor-doktor menjalankan tannggungjawab mereka untuk menyelamatkan isteriku sedaya upaya mereka. Doktor juga berusaha supaya rahim isteriku dapat diselamatkan. Kemungkinan besar isteriku tidak dapat memberikan zuriat seterusnya untukku. Tawakal saja yang mampu saya lakukakn pada ketika itu disamping berdoa. Usaha apa yang boleh saya lakukan ketika itu, saya bukan doktor.

Saya dan petugas di situ mula menyusung jenazah anak saya ke wad isteriku. Alhamdulillah isteriku diberikan wad kelas 1. Lebih privasi. Dalam pada itu saya harus kuat. Banyak perkara yang perlu diuruskan. Saya meminta petugas di situ untuk menjaga jenazah. Saya perlu balik ke rumah untuk menjemput ibu mertuaku dan anak sulungku. Alhamdulillah saya dapat memandu dengan baik walaupun dalam keadaan sedemikian. Ibu mertuaku dan anak sulungku selamat saya bawa ke hospital. Sedih ibu mertuaku melihat jenazah cucunya. Begitu juga ibuku yang saya beritahu melalui telefon. Mereka semua gembira bila mendapat tahu apabila isteriku melahirkan Nurfatihah Humairah binti Muhammad Rahmat. Tetapi kegembiraan yang hanya seketika apabila diberitahu bahawa Nurfatihah Humairah telahpun terbujur kaku tidak bergerak.

Walaupun dalam keadaan yang sedih, isterku masih lagi di dewan pembedahan. Setiap progres saya tanya pada petugas di bilik itu. Sambil menunggu isteriku, saya memberitahu kawan-kawan sepejabat memaklumkan hal yang berlaku. Alhamdulillah pada jam 9 malam, isteriku telah selesai menjalani pembedahan dan dikatakan sudah berada dalam keadaan stabil. Setengah jam diperlukan sebelum isteriku di bawa masuk ke wadnya. Saya berasa sangat lega pada ketika itu. Alhamdulillah, mungkin tanggungjawab isteriku di dunia ini beum selesai lagi. Maka itu Allah memberikan lagi peluang kepada beliau. Walaupun sedih tapi saya sangat gembira sebaik sahaja dapat bercakap sepatah dua kata dengan isteri yang baru sahaja berjuang bertarung nyawa.

Alhamdulillah seorang demi seorang rakan-rakan mula muncul di wad isteriku, tanpa sokongan moral yang mana kami sangat-sangat perlukan. Disamping itu kami telah mula berbincang mengenai pengebumian jenazah anak kedua saya nanti. Antara perkara yang menjadi isu adalah adakah isteriku akan diberi peluang menatap dan mendakap jenazah anak kami?

Majoriti rakan wanita berkeras agar saya memberi isteriku peluang menatap wajah anaknya buat kali terakhir. Majoriti rakan lelaki pula memberitahu bahawa elok disegerakan pengebumian jenazah dan tak perlu memberi peluang isteriku menatap jenazah buat kali terkahir kerana khuatir dengan keadaan isteriku. Ia juga merupakan antara perkara yang agak berat untuk saya buat keputusan. Ia menjadi amat berat kerana doktor turut mengatakan bahawa isteriku masih belum tahu lagi bahawa anak kami suda tiada. Bagaimana agaknya keadaan isteriku sekiranya diberitahu tentang Nurfatihah Humairah?

Walaubagaimanapun akhirnya saya memutuskan untuk memberi peluang isteriku melihat anak kami buat kali terakhir. Jenazah akan dikebumikan pada esok pagi. Saya mempunyai masa sehingga subuh esok untuk memberitahu isteriku tentang Nurfatihah Humairah.


Nurfatihah Humairah binti Muhammad Rahmat

Al-Fatihah buat anakku.....

Mak, abah dan abang Taufiq akan tetap mengingatimu biarpun hadirmu sekadar satu persinggahan yang hanya sebentar.

24 comments:

Nannie said...

Assalamualaikum Zack ,

Menangis akak baca coretan Zack ni sebab akak teringat balik masa akak melalui kejadian yang lebih kurang sama macam Zack . Baby yang dikandung 9 bulan meninggal cuma baby akak meninggal disebabkan masalah organ dalaman yang tak sempurna sementara Zack pula baby yang dikandung sihat hanya menunggu masa untuk dilahirkan meninggal disebabkan komplikasi rahim pecah . Akak doakan Zack cepat sembuh dan Zack kuatkan la semangat dan tabahkan hati melalui semua ni . Akak melalui saat sedih ni pada 29 /9/2005 tapi sampai sekarang akak masih lagi menangis bila terkenangkan arwah anak akak tu Muhd Aqil . Allah lebih menyayangi anak kita itu dan sekarang anak kita berada di syurga dan insyallah anak akak dan anak Zack akan tunggu kita disana .

Tabahkan diri Zack ya kuatkan semangat untuk anak Zack yang sulung dan suami Zack .

cinnamon.com said...

tabahkan hati,kamu orang yg terpilih untuk melalui semua ini..hya Allah maha mengetahui..

K.Nor said...

salam.. k.nor sangat terkejut bila baca coretan ni.. tak sangka begitu hebat ujian Allah pd zack dan suami. terharu dan sedih, tp betapa berat mata yg memandang berat lagi bahu yg memiku. sebenarnya zack dan suami adalah ibu bapa yg bertuah, kerana sang puteri sudah menunggu di hadapan pintu syurga kedatangan ibu dan ayahnya. redha dan berbahagialah.. tuhan lebih menyayangi nur fatihah sebab tu Dia menjemputnya lebih awal.

smoga zack dan suami terutamanya zack diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian yg amat berat ni.. semoga zack tabah dan segera pulih secara zahir dan batin. kuatkan semangat ya zack..

Mamasya said...

Assalammualaikum Zack

Terharu membaca coretan ni.. tak dpt bayangkan betapa kesakitan yg Zack tanggung disaat bersalinkan puteri kesayangan dan menghadapi kehilangannya.....sesungguh Allah mengetahui apa hikmah disebalik semua ini berlaku....Allah lebih menyayangi puteri Zack.moga Zack & suami tabah dgn dugaan ini dan diberikan kekuatan semangat untuk menghadapi hari-hari mendatang.jua moga Zack cepat semboh kembali.

ibuaiman said...

Assalamualaikum...

Salam perkenalan...takziah utk Zack...semoga diberikan ketabahan olehNya untuk menghadapi saat-saat getir seperti ini...sungguh berat ujian ini untuk Zack, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul...namun, yakinlah bahawa sang puteri sedang menunggu ibunya di syurga...saya doakan Zack akan tabah menghadapi ujian ini...

Wallahua'lam

Amyna said...

Zack cekalkan hati ya. Allah lebih mengetahui apa yang tersurat untuk setiap hambanya yang terpilih, Allah itu maha adil bukan menzalimi..

Alhamdulillah dalam kekeliruan pendapat yang berlaku pada Rahmat malam tu,Allah s.w.t telah menemukan jalan keputusannya... Zack dapat juga menatap wajah arwah utk kali terakhir.. Arwah nurfatihah sempurna. Al-Fatihah.. Nurfatihah Humairah.. bidadari syurga...

Hjh. Tan said...

Askum Zack....terharu dan sedih akak membaca coretan suami Zack ini. Akak pn pernah melalui saat seperti ini pada Januari 2010 apabila cucu pertama akak telah meninggal dunia selepas 3 hari dilahirkan. Sehingga hari ini jika akak kenang apa yg berlaku masa itu, tak tertahan hati ini disebabkan saat2 terakhir cucu akak tu berada dipangkuan akak....akak sedih melihat menantu dan anak lelaki akak yg telah kehilangan bayi pertama mereka. Tapi kita sebagai hamba ALLAH kena redha dengan ketentuan ALLAH dan mungkin ada hikmah disebalik kejadian ini. Zack dan suami adalah sama dengan menantu dan anak lelaki akak di mana seorang bayi telah menanti di pintu syurga untuk menyambut ibubapa mereka nanti..dari ALLAH kita datang dan kepada NYA kita kembali. Diharap Zack tabah dan dapat mengharungi kehidupan mendatang dengan mengingati ALLAH yang maha berkuasa. AL-FATIHAH BUAT NURFATHIAH HUMAIRAH & NAUFAL MIKAEEL (CUCU AKAK) semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh ALLAH...Daripada: Kak Hjh Tan (Tawau, Sabah)

Sue said...

salam..

takziah utk zack dan keluarga. sedih saya membayangkan keadaan yang puan dan suami alami saat melahirkan.. semoga arwah dicucuri rahmat...

deem said...

Zack, sedih aku baca entry ni.sedaya upaya dah aku tahan air mata(sebab aku duty kaunter time ni).berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul(boleh pki ka peribahasa ni?)
sebagai teman aku harap kamu sekeluarga bersabar dan tenang menghadapi semua dugaan yg dtg, sebab apa yg terjadi itu semuanya bersebab.ada hikmahnya......kuatkan semangat ya.take care ^_^

Larra... said...

kak... tq menjadi 1st follower blog saya...

saat ini..dada saya masih sebak dgn coretan suami akak...

smg akak mendapat rahmat Allah di atas segala keperitan akak utk melahirkan arwah...

Smg akak sihat dan sy doakan akak dan family dilindungi Allah, dirahmati dan disayangi-Nya sentiasa... amin

Zack Zachoes said...

kak nannie: waalaikummussalam wbt..

akak jgn nangis lg ye..takde niat nk buat akak nangis dgn kisah sy ni..sy sekadar berkongsi, mudah2an kita semua dpt manfaat/pengajaran.. hidup ni tak sentiasa indah, kematian boleh dtg bila2 masa..tak kira usia..lbh kpd peringatan pd sendiri supaya lbh bersedia menghadapNya nanti.. akak jgn sedih ye..sy redha, ketentuanNya.. satu perkara yg buat sy lbh tabah sbb sy fikirkn anak sy di syurga sekarang.. :) bila mcm tu, mudah2an kita akan lbh bnyk beramal, semoga dipermudahkn jumpa anak di akhirat kelak.. apapun semuanya atas ketentuan Illahi.. kita hanya mampu berusaha utk jd insan yg lbh baik, insyaAllah.. tanggungjawab kita kt dunia masih belum habis lg..

Zack Zachoes said...

cinnamon: :) sy dan suami akan berusaha, insyaAllah..

Zack Zachoes said...

kak nor: insyaAllah.. cuba mencari matlamat utk teruskan kehidupan ini.. semoga kami sekeluarga tabah mengharungi hari2 akan datang.. :)

Zack Zachoes said...

mamasya: waalaikummussalam..

akak jgn risau ye..insyaAllah, dengan kekuatan dariNya dan sokongan dari suami, keluarga dan rakan2, insyaAllah..akan cuba sedaya upaya utk teruskn hdp ini.. :) fokus sy sekarang utk cpt sihat, sembuh..boleh uruskn suami dan anak2..mgu dpn mak dh blk semenanjung, jd nak tak nak kena gak baik :) selama ni pun anak ikut abahnya kerja, kesian sy tengok mereka berdua..

Zack Zachoes said...

ibuaiman: waalaikummussalam.. sy tak setabah mana, hanya manusia kerdil yg lemah.. tp cuba naikkan semangat balik :) masih ada bbrp perkara yg belum selesai lg, mgkn tu yg Tuhan sygkan sy tak ambil nyawa sy ketika itu.. Wallahu 'alam..

Zack Zachoes said...

kak Myna: cantikkan arwah? putih..gebu..suci..masa sy tgk dia pn umpama tgh tidur.. tak brp terkilan sgt sbb dpt pegang dan cium arwah sebelum dikebumikan.. kita tak sangka benda ni boleh berlaku..sebab sepanjg mengandung mmg takde masalah langsung..namum semua ketentuanNya..

Zack Zachoes said...

kak Hjh Tan: innalillahi wa innalillahi rojiun.. dari Allah kita dtg, kpd Allah kita kembali.. maaf ye kak, takde niat nk buat akak sedih.. kdg2 kita sbg manusia mmg tak tahan menghadapi ujianNya..kdg kala terpaksa kita melepaskannya. semoga kita menjadi insan yg lbh tabah :) igt anak dan cucu kita di syurga, semoga ia memberi kekuatan pd diri kita utk teruskn hdp.. :)

Zack Zachoes said...

sue: terima kasih sue..mudah2an Tuhan memberi kekuatan mental, fizikal dan spiritual kpd kami suami isteri.. sesungguhnya ini ujian yg plg besar yg pernah kami hadap.. semoga Allah memberi kami ketabahan utk menghadapi ujian2Nya yg akan mendatang..

Zack Zachoes said...

deem: jgn nangis ging, kalau ko sedih aku jg sedih :) ndak pa2 la, insyaAllah kami ok.. caiyok2 :) kena terus bersemangat ni..

Zack Zachoes said...

larra: tanda penghargaan akak kpd Larra sbb sudi singgah ke blog akak walaupun tak kenal akak :) sgt bermakna buat akak..walaupun tak pernah bersua tp ada yg sanggup bertanyakn khabar, tinggalkn komen.. :) tanpa sokongan dr kalian termasuk rakan blogger, kwn2 sekeliling dan keluarga, akak tak yakin kita dpt tempuh semua ini seorg diri..

noni said...

Assalamualaikum Zack,
akak jumpa link zack ni ketika mencari resepi snow almond 2 minggu lps tanpa membaca entry2 lainnya. Hari ni jumpa balik link ni bila tengok resepi Red Pearl di Myresipi.

bila akak buka entry2 Zack yg terbaru.. jumpa yg ni.
apa yg akak nak katakan... terkedu sebentar bila membaca entry ni kerana akak tak pernah alami peristiwa sebegini.. alhamdulillah 8 anak akak selamat lahir secara normal.

akak rasa Zack sgt bertuah sbb dipilih Allah utk menempuhi dugaanNya yg ini. InsyaAllah yg pasti.. Nur Fatihah Humairah tlh disediakan Allah tempatnya di syurga.

kita semua ada dugaan masing utk melepasi segala ujianNYA.
bahagian akak pula.. kena bertarung utk membesarkan anak2 pd jalan yg diredhai Allah.. yg ni sgt2 & plg susah utk menghadapinya.

kita yg berada di muka bumi Allah ini belum pasti tempat kita dimana nanti.. kita kena berjuang berjuang & berjuang utk menahan diri dr segala yg Allah benci & memberi masa, tenaga & seluruh diri kpd yg Allah sukai utk mendapat tempat yg diredhaiNYA.

semoga Allah memberi kekuatan buat Zack menempuh hari2 yg mendatang dgn penuh kebaikan.

Terima kasih pada resepi2 yg Zack kongsikan.. semoga Allah menambah kebaikan lg buat Zack.

Zack Zachoes said...

kak Noni: membesarkan anak-anak ke jalan yg diredhai Allah pun satu dugaan kak :) masing-masing dugaannya lain.. sy cuba selalu beringat..ingatkan diri sendiri..bukan kita saja yg susah..ada org lain yg lebih susah dr kita.. alhamdulillah, berkat sokongan keluarga, teman2 sekeliling dan teman2 di alam cyber..sy berusaha utk bangun.. sy tak mampu membiarkn diri sy dihanyutkn kesedihan kerana masih ada suami dan anak utk dijaga..

mmg betul, kita tak tahu tempat kita di mana di kahirat nanti.. yg plg kita mampu buat..usaha utk bermal, usaha utk memperbaiki diri sndr, usaha utk melalukan suruhannya dan meninggalkan laranganNya..

semoga kita menjadi org yg sentiasa beringat..insyaAllah.. :)

alhamdulillah, kalau akak rasa blog ni bermanfaat, cukup cukup berharga bg saya :)

ida @ 1001resepi said...

salam zack,
kkida baca komen zack di blog eka (tulisan)...dari situ kkida link ke blog zack ini melalui your profile...
dan terbaca entri ini...bergenang airmata, tumpang besedih dengan apa yang zack lalui...semuga zack dan suami tabah mengharungi saat ini...be strong untuk anak dan keluarga...setiap apa yang berlaku ada hikmah disebaliknya...hanya yang Maha Esa sahaja tahu mengapa dan kenapa ia berlaku...sebagai hambanya kita harus redha dan tidak bersangka buruk dengan NYA...semuga kita akan mendapat ganjaran yang setimpal di hari kemudian...InsyaAllah...

Zack Zachoes said...

wsalam kak ida..

walaupun beberapa minggu telah berlalu, tak dpt dinafikan kdg2 hati masih pedih bila terkenangkan pemergian puteri sulung kami.. insyaAllah, sy cuba utk tabah dan kembali bersemangat utk teruskn hdp demi suami dan anak sulung.. :) diluar kita boleh berlakon nmpk gembira..di dalam..hanya Dia saja yg Maha Mengetahui.. apapun terima kasih sbb tinggalkn komen disini, sy sgt2 hargainya.. :)