Bagi yang lemah semangat atau daya imaginasi terlalu tinggi disyorkan jangan baca post ini. -zack
Bersambung dari Part 4.
Saya masih ingat, semasa suami tanyakan pada saya sama ada saya sudah bersedia untuk berjumpa dengan arwah, hati terasa begitu sebak sekali. Hiba. Dicampur perasaan takut dan cemas. Terasa seperti seolah sebilah pisau tajam yang menikam jantung saya ketika tu. Mencucuk-cucuk. Terasa begitu pedih. Sungguh pedih. Mungkinkah saya akan meraung, meratapi kematiannya setelah melihatnya nanti? Bermacam-macam perasaan bermain di benak hati saya.
Akhirnya, setelah memikirkan tidak elok dibiarkan arwah dalam keadaan dia tidak dikafan dan dikebumikan lama-lama, saya menyetujuinya agar dia dibawa ke mari. Suami pun tanpa berlengah-lengah terus pergi mengambilnya. Mungkin takut saya akan ubah fikiran..
Sebenarnya, selepas pembedahan, arwah tidak dihantar ke bilik mayat pada malam itu. Rupanya suamiku telah merayu pada pihak hospital, meminta mereka agar mengizinkan saya melihat anak kami buat kali terakhir, sebelum dia dimasukkan ke bilik mayat. Pada malam itu arwah telah bermalam di bilik wad Kelas 1, menemani nenek, bapa dan abangnya, di dalam katil bayinya. Pada zahirnya dia kelihatan sama seperti bayi-bayi yang lain...cuma bezanya tidak lagi bernyawa..
Pagi itu, katil arwah telah diusung ke hadapan wad bersalin, sambil ditutupi dengan sebuah skrin besar. Ia untuk mengelakkan dari dilihat oleh ibu-ibu yang lain, kerana dikhuatiri akan memberi trauma kepada ibu-ibu yang sedang menunggu waktu bersalin. Setelah katilnya diletakkan di hadapan katil saya, suami pun mula mengangkat mayat anak kami untuk ditunjukkan pada saya. Saya melihat dia telah diselimuti dengan kemas, dengan sehelai kain batik. Terasa seperti mengenali kain batik itu.. Mukanya pula ditutupi, tanda penghargaan arwah telah pergi..
Hanya Tuhan saja yang tahu, bertapa berat, bertapa sebaknya hati ini ketika memeluk mayat arwah. Hanya ucapan kalimah 'Allahu akhbar' saja yang mampu dilafazkan.. Tidak terdaya rasanya menahan sedih di dada.. SubhanAllah.. Mata sudah mula berkaca, tetapi cuba ditahan. Saya ingin melihatnya dengan lebih jelas..
Dalam dakapan saya dia terasa begitu berat sekali. Mungkin badan saya belum lagi kuat, akibat kehilangan darah yang banyak. Saya mencium pipinya..sejuk..keras. Bibirnya tidak lagi kemerah-merahan, tetapi sudah kehitaman. Kepalanya pula tidak memandang ke depan, tetapi ke tepi. Mulutnya sediki terbuka. Seolah dalam posisi sedang menyusu susu ibunya..
Sejujurnya, saya hampir tidak tahan melihat arwah yang terbujur kaku seperti itu. Terasa dunia seakan gelap seketika. Namum dalam hati saya tetap bertahan. Tidak menyerah diri untuk pengsan ketika itu. Tetap panjatkan kesyukuran. Bersyukur, kerana Allah telah memakbulkan doa saya untuk mendapat seorang anak perempuan. Bersyukur, kerana Dia telah memakbulkan doa saya mendapat seorang anak yang putih, cantik, dan cukup sifat tubuh badannya. Bersyukur, kerana Allah telah mengurniakan saya seorang anak yang solehah, yang tempatnya di janjikan Syurga..
Sesungguhnya, kehidupan kita cuma sementara di dunia. Anak-anak, suami, isteri, ibu bapa..hanya pinjaman sementara dari Allah swt. Suatu hari nanti mereka pasti dikembalikan kepada yang Esa. Saya tetap bersyukur, walaupun Nurfatihah Humairah hanya dipinjamkan pada kami untuk sementara, kehadirannya cukup memberi kesan dalam hidup kami..
Saya masih teringat, ketika saya mula cuba untuk mengandung lagi. Pada awalnya, set ujian kehamilan yang dibeli dari farmasi menunjukkan reaksi negatif. Saya berasa sedih. Sangat sedih. Namun saya tetap bersabar. Beberapa minggu kemudian, saya mula terasa mual. Loya. Terdapat tanda-tanda seperti saya sedang mengandung. Sinar harapan mula menerangi dalam jiwa saya. Saya dan suami telah pergi ke klinik swasta pada suatu malam. Namun hampa. Walaupun ujian air kencing menunjukkan tanda-tanda yang positif, doktor berkata saya belum mengandung lagi. Mungkin cuma hormon saya kurang stabil. Saya kecewa. Dan menangis kerana terlalu mengharap dapat mengandung lagi..
Sejak dari hari itu, saya berbuat seperti biasa. Tidak terlalu mengharap. Makan seperti biasa, tetapi makanan-makanan tajam tetap dielakkan. Ketika itu sudah memasuki bulan Zulhijjah, Hari Raya Aildiladha. Saya masih teringat, ketika kawan-kawan sibuk memasak sup tulang di rumah salah seorang kawan suami saya, saya asik berasa mual. Hampir nak muntah. Bau dari sup yang sedang dimasak itu terasa cukup meloyakan. Dalam diam rupanya suami pun berasa begitu. Namun kami berdua tidak memikirkan apa-apa. Tidak terlintas dihati bahawa saya sudahpun berisi. Alhamdulillah, rupanya rezeki dari Allah datang tanpa dijangka..
Untuk beberapa minggu berturut-turut, segala bau-bauan terasa begitu busuk. Hinggakan ikan yang digoreng oleh jiran belakang berbau seperti daging yang haram disentuh oleh umat Islam. Sedangkan mereka beragama Islam.. Pelik. Sungguh pelik. Kek-kek yang saya masak juga terasa begitu meloyakan, walaupun baru saja lepas dimasak. Bahan-bahannya pun masih segar lagi. Hairan. Sungguh hairan.. Sampaikan saya terpaksa menahan hidung ketika mendeco kek-kek tersebut. Bila teringat kembali terasa lucu pula.. Benar kata-kata orang. Apabila kita terlalu mengharap untuk mengandung lagi, ia tidak menjadi. Tetapi sesudah kita tidak lagi meletakkan harapan begitu tinggi, rezeki telah diberikan. Kuasa Allah, Dia Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..
Kerana tidak tahan dengan bau-bauan yang kurang enak itu, saya mengambil keputusan untuk check lagi. Dibelinya satu lagi set ujian mengandung di farmasi. Terasa berdebar-debar apabila melihat terdapat dua garisan yang tertera pada kertas tersebut. Benarkah? Tetap saya tidak meletakkan harapan tinggi, tunggu untuk dicheck oleh doktor lagi. Alhamdulillah, terbukti saya sudah mengandung. Sudah pun memasuki minggu ke-5..
Sejak itu, rezeki anak datang melimpah-limpah. Segala beban yang ditanggung ketika itu perlahan-lahan beransur hilang. Keresahan yang terpahat dihati mula dapat dikikis. Sedikit demi sedikit. Diganti dengan kesenangan dan kegembiraan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah.. Daya kreativitiku untuk menghias kek juga terasa makin meningkat. Ketelitian untuk menghasilkan kek-kek yang lebih kemas dan cantik dapat dirasakan dan dilihat. Mungkin itu salah satu sifat arwah. Dorongannya dari alam rahim membuatkan saya lebih teliti semasa menghias kek. Dan terasa lebih rajin untuk berkongsi pengalaman dan cara berhias dengan teman-teman yang lain.
Bila terkenang kembali perasaan semasa membuat dan menghias kek-kek tersebut, saya terasa begitu senang sekali. Idea datang mencurah-curah. Teknik-teknik yang saya cuba praktikan bertahun-tahun lebih mudah dilakukan. Cara hiasan dan corak menggunakan coklat juga dapat saya hasilkan. Walhal sebelum ini saya tidak begitu berminat menggunakan coklat sebagai hiasan atas kek..
Namum dalam kegembiraan menimang cahaya mata baru, perasaan sayu kadang-kadang berlegar dalam hati. Hairan. Mungkin ketika itu saya tidak terlalu memikirkannya. Tetapi secara tidak sedar saya seolah dapat merasakan sesuatu. Sesuatu perasaan yang sukar untuk digambarkan. Mungkinkah ia firasat, tanda-tanda dari Allah? Hanya Dia saja yang Maha Mengetahui..
Bila ditenung kembali, mungkin saya sudah tahu. Mengagak. Terlalu banyak perkara yang luar kebiasaan berlaku. Teringat dahulu, hati berasa malas, begitu berat sekali untuk membeli barang-barang bayi. Sehingga sudah memasuki 8 bulan, hanya beberapa pasang baju saja saya belikan untuk arwah. Itupun kerana memikirkan baju-baju yang akan dibawa ke wad nanti. Sedangkan baju-baju abangnya pun kebanyakkan saya telah lama buang, kerana sudah terlalu buruk. Keriangan untuk membeli barang-barang untuk arwah tidak begitu dirasai. Suami juga saya lihat tidak begitu teruja apabila saya mengajaknya untuk membeli barang-barang untuk anak kedua kami. Hanya 1 set kecil selepas mandi saja yang saya sediakan. Tilam, katil, bantal juga tidak dibeli. Padahal di rumah ini barang-barang lama abangnya telah ditinggalkan di semenanjung semasa balik raya dahulu. Pelik..
Beberapa hari selepas dibenarkan keluar dari hospital, tergerak dalam hati untuk membuka handphone saya. Melihat gambar-gambar yang telah ditangkap dalam folder gambar. Betapa sayu bila saya lihat, tiada satupun gambar saya semasa mengandungkan arwah. Sedangkan semasa saya mengandungkan anak sulung kami, saya ada menangkap beberapa keping gambar dalam keadaan saya yang sarat mengandung untuk dijadikan kenangan. Teringat lagi, semasa suami cuba mengambil gambar saya semasa saya masih mengandungkannya, saya terasa begitu malu. Segan. Elak untuk digambarkan. Terkilan juga dalam hati, tiada gambar kenangan saya semasa mengandungkan arwah.. Ketika ibu bapa saya datang hari itu pun, saya bercadang untuk menangkap gambar kami sekeluarga. Tetapi terlupa, hanya teringat setelah bapa dan adik-adik berada di airport untuk balik ke semenanjung.. Mungkin sengaja Tuhan melalaikan saya. Mungkin saya akan menangis, meratapi pemergian arwah jika melihat gambar semasa saya mengandungkannya.. Sedangkan melihat baju-bajunya sekarang pun saya akan terkenangnya..kadang-kadang menitiskan air mata..
Mungkin ini juga salah satu petanda dariNya..anak yang saya kandungkan telah tiba-tiba berada dalam kedudukan serong dalam perut saya. Tanpa sebab munasabah. Mungkin juga, salah satu petanda yang bayi saya akan lahir dalam keadaan rahim saya pecah, kerana kepalanya berada betul-betul dibahagian yang akan terkoyak itu. Wallahu a'alam..
Dari segi saintifik, doktor menjelaskan air ketuban saya begitu banyak. Hampir melebihi paras normal. Dan dikatakan ruang untuk bergerak itu banyak. Namun selang seminggu air ketuban itu dengan mendadak turun ke paras di bawah normal. Ketika itu saya telah berdoa, biarlah kedudukannya kembali pulih. Biarlah selamat. Dan dengan izinNya, dia pun kembali menegak. Mungkin ada yang akan menyalahkan, kenapa tidak dibedah sahaja? Kenapa perlu? Kerana jika tidak dengan izinNya pun, kedudukan anak tetap tidak akan berubah, walaupun pelbagai usaha telah diusahakan. Usaha saya ketika itu cuma berdoa dan berusaha. Bercakap dengan anak, mendoakannya kembali seperti biasa. Mendoakan agar kami berdua selamat. Selebihnya bertawakal. Bukan saya yang mengalihkannya dengan sendiri pun. Tidak berani saya menyentuhnya kerana telah doktor melarang.. Lagi pula, saya tidak menghadapi masalah, anak yang dikandung juga sihat. Atas nasihat doktor juga saya memberanikan diri untuk bersalin normal. Ramai juga kawan yang anak sulungnya caesar, tetapi anak seterusnya normal. Dari mereka saya mendapat kekuatan, menjadi pemangkin semangat saya untuk mencuba..
Saya masih teringat, pada hari saya discan sebelum saya dipaksa bersalin. Doktor telah memberi amaran awal-awal, jangan saya mengada-ngada meminta dibedah kerana saya telah bercadang untuk bersalin normal. Ketika itu saya akur. Bukan mudah untuk pihak hospital melakukan pembedahan serta-merta jika seorang pesakit tiba-tiba minta untuk dibedah. Team pembedahan perlu disediakan. Bilik bedah perlu dipastikan kosong. Jadual orang lain perlu diketepikan. Bila difikirkan kembali, ia seperti telah diatur awal-awal. Umpama satu babak dalam sebuah cerita. Kita seperti pelakon-pelakon, yang melakonkan satu watak..
Satu lagi kelainan yang dapat saya rasakan adalah ketika bersolat. Walaupun pada awalnya perasaan itu tidak hadir..beberapa minggu sebelum saya mula ditahan di wad buat pertama kalinya..beberapa minggu sebelum kandungan saya tiba-tiba berada dalam keadaan menyerong dalam perut..saya sudah berasa satu perasaan yang kurang enak. Hati terasa begitu berat, hinggakan saya menitis air mata bila membaca surah Yasin dan surah Inshirah. Terasa seperti akan meratapi pemergianku sendiri. Seolah-olah salah seorang, atau kedua-duanya sekali, akan pergi menghadap-Nya.. Allahu akhbar..
Mungkin pada orang lain saya cuma berangan-angan. Mungkin mereka mengtakan juga saya hanya menipu diri sendiri. Tetapi perasaan itu benar-benar terjadi, telah meresap ke dalam jiwa saya. Betapa yakinnya saya dengan perasaan itu, sehingga apabila sebelum doktor atau orang lain memberitahu saya yang anak saya sudah tiada, sebelum saya mendengar kata-kata nurse memujuk anak saya supaya bangun dalam bilik bedah pada hari kejadian itu berlaku pun, saya sudah dapat merasakan anak saya telah pergi menemui penciptanya.. SubhanAllah..
Pada yang melihat saya ketika melawat saya di wad, mungkin mereka terasa begitu pelik. Mungkin juga nurse-nurse, doktor-doktor turut rasa begitu. Kenapa saya begitu tenang sekali apabila disampaikan berita yang menyayat hati? Bukankah kebiasaanya seorang ibu akan meraung, pengsan, atau paling kurang menangis, apabila mendengar berita kematian anaknya?
Saya beritahu pada suami, setelah beberapa hari balik dari hospital..akan perasaan yang saya telah lalui. Bagaimana saya terasa seolah-olah pemergian arwah telah dapat saya rasa tanpa sedar, tanpa perlu orang mengatakannya pada saya. Terasa diri begitu lalai, alpa dalam mengingatiNya. Ketika hambaNya yang hina ini kerap melupakanNya, Dia masih mengingati saya. Memberi saya petunjuk-petunjuk, firasat-firasat, klu-klu, bahawa ajal sudah hampir tiba. Betapa kerdilnya rasa diri ini. Dalam kita asyik leka dengan benda keduniaan, Dia masih ingat pada kita. Mengurangkan segala beban di hati. Mungkin kerana itu, mungkin kerana naluri, firasat yang dikurniakan olehNya, saya dapat menerima berita itu dengan tenang. Dia telah memudahkan jalan saya untuk menerima ketentuanNya. SubhanAllah.. Syukur padaMu ya Allah.. Engkaulah Maha Mengasihani.. Betapa malunya aku padaMu..mengejar nikmat dunia tanpa memikirkan soal mati, kehidupan di akhirat nanti.. Bertapa kecilnya dugaan-dugaan yang telah dilalui sebelum ini, jika dibandingkan dengan dugaan yang berat ini..
Mungkin pada orang luar, yang melihat kejadian ini dari sudut yang jauh, akan menuding jari pada sesiapa. Mungkin pada saya kerana tidak merancang untuk dibedah awal-awal. Mungkin juga mereka akan menuduh doktor, atas 'kecuaian' yang berlaku kerana tidak prihatin pada tanda-tanda akan berlakunya pecah rahim, walaupun kes ini sangat jarang berlaku. Ia hanya seperti sebuah kisah dongeng yang dibaca dalam buku medikal, tidak terlintas untuk ia berlaku semasa karier seorang doktor. Ini yang diceritakan oleh doktor-doktor saya. Kemungkinan juga ini kes yang pertama berlaku di Hospital Tawau, saya pun kurang pasti. Sebenarnya kes ini hampir dibawa ke mahkamah, kerana pihak atasan mengandaikan kejadian ini sepatutnya dapat dielakkan dari awal. Namun inilah dikatakan takdir. Sudah ditentukan olehNya, arwah akan pergi pada ketika itu juga. Dalam keadaan itu. Hidup takkan selalu ikut apa yang kita rancang. Kita hanyalah insan yang lemah. Betapa kita cuba merancang, memantau, menjaga..jika Allah mengkehendakinya ia berlaku, maka berlakulah ia.. Yang pergi biarlah pergi, menjadi ingatan dalam diri kita. Yang hidup, jangan dilupa atau diabaikan..mereka masih memerlukan kita..
Walau bagaimana beratnya hati ini..menerima kematian anak..menerima saya mungkin tidak dapat mengandung lagi..atau mungkin mengancam nyawa sendiri dan anak jika dapat mengandung..saya sudah pasrah. Mungkin, pada awalnya hidup akan terasa kelam. Mendung. Sunyi. Jika inilah takdirnya, saya berserah pada Illahi. Hidup, mati, rezeki..semuanya di tangan Allah..