Bersambung dari Part 4.
Saya masih ingat, semasa suami tanyakan pada saya sama ada saya sudah bersedia untuk berjumpa dengan arwah, hati terasa begitu sebak sekali. Hiba. Dicampur perasaan takut dan cemas. Terasa seperti seolah sebilah pisau tajam yang menikam jantung saya ketika tu. Mencucuk-cucuk. Terasa begitu pedih. Sungguh pedih. Mungkinkah saya akan meraung, meratapi kematiannya setelah melihatnya nanti? Bermacam-macam perasaan bermain di benak hati saya.
Akhirnya, setelah memikirkan tidak elok dibiarkan arwah dalam keadaan dia tidak dikafan dan dikebumikan lama-lama, saya menyetujuinya agar dia dibawa ke mari. Suami pun tanpa berlengah-lengah terus pergi mengambilnya. Mungkin takut saya akan ubah fikiran..
Sebenarnya, selepas pembedahan, arwah tidak dihantar ke bilik mayat pada malam itu. Rupanya suamiku telah merayu pada pihak hospital, meminta mereka agar mengizinkan saya melihat anak kami buat kali terakhir, sebelum dia dimasukkan ke bilik mayat. Pada malam itu arwah telah bermalam di bilik wad Kelas 1, menemani nenek, bapa dan abangnya, di dalam katil bayinya. Pada zahirnya dia kelihatan sama seperti bayi-bayi yang lain...cuma bezanya tidak lagi bernyawa..
Pagi itu, katil arwah telah diusung ke hadapan wad bersalin, sambil ditutupi dengan sebuah skrin besar. Ia untuk mengelakkan dari dilihat oleh ibu-ibu yang lain, kerana dikhuatiri akan memberi trauma kepada ibu-ibu yang sedang menunggu waktu bersalin. Setelah katilnya diletakkan di hadapan katil saya, suami pun mula mengangkat mayat anak kami untuk ditunjukkan pada saya. Saya melihat dia telah diselimuti dengan kemas, dengan sehelai kain batik. Terasa seperti mengenali kain batik itu.. Mukanya pula ditutupi, tanda penghargaan arwah telah pergi..
Hanya Tuhan saja yang tahu, bertapa berat, bertapa sebaknya hati ini ketika memeluk mayat arwah. Hanya ucapan kalimah 'Allahu akhbar' saja yang mampu dilafazkan.. Tidak terdaya rasanya menahan sedih di dada.. SubhanAllah.. Mata sudah mula berkaca, tetapi cuba ditahan. Saya ingin melihatnya dengan lebih jelas..
Dalam dakapan saya dia terasa begitu berat sekali. Mungkin badan saya belum lagi kuat, akibat kehilangan darah yang banyak. Saya mencium pipinya..sejuk..keras. Bibirnya tidak lagi kemerah-merahan, tetapi sudah kehitaman. Kepalanya pula tidak memandang ke depan, tetapi ke tepi. Mulutnya sediki terbuka. Seolah dalam posisi sedang menyusu susu ibunya..
Sejujurnya, saya hampir tidak tahan melihat arwah yang terbujur kaku seperti itu. Terasa dunia seakan gelap seketika. Namum dalam hati saya tetap bertahan. Tidak menyerah diri untuk pengsan ketika itu. Tetap panjatkan kesyukuran. Bersyukur, kerana Allah telah memakbulkan doa saya untuk mendapat seorang anak perempuan. Bersyukur, kerana Dia telah memakbulkan doa saya mendapat seorang anak yang putih, cantik, dan cukup sifat tubuh badannya. Bersyukur, kerana Allah telah mengurniakan saya seorang anak yang solehah, yang tempatnya di janjikan Syurga..
Sesungguhnya, kehidupan kita cuma sementara di dunia. Anak-anak, suami, isteri, ibu bapa..hanya pinjaman sementara dari Allah swt. Suatu hari nanti mereka pasti dikembalikan kepada yang Esa. Saya tetap bersyukur, walaupun Nurfatihah Humairah hanya dipinjamkan pada kami untuk sementara, kehadirannya cukup memberi kesan dalam hidup kami..
Saya masih teringat, ketika saya mula cuba untuk mengandung lagi. Pada awalnya, set ujian kehamilan yang dibeli dari farmasi menunjukkan reaksi negatif. Saya berasa sedih. Sangat sedih. Namun saya tetap bersabar. Beberapa minggu kemudian, saya mula terasa mual. Loya. Terdapat tanda-tanda seperti saya sedang mengandung. Sinar harapan mula menerangi dalam jiwa saya. Saya dan suami telah pergi ke klinik swasta pada suatu malam. Namun hampa. Walaupun ujian air kencing menunjukkan tanda-tanda yang positif, doktor berkata saya belum mengandung lagi. Mungkin cuma hormon saya kurang stabil. Saya kecewa. Dan menangis kerana terlalu mengharap dapat mengandung lagi..
Sejak dari hari itu, saya berbuat seperti biasa. Tidak terlalu mengharap. Makan seperti biasa, tetapi makanan-makanan tajam tetap dielakkan. Ketika itu sudah memasuki bulan Zulhijjah, Hari Raya Aildiladha. Saya masih teringat, ketika kawan-kawan sibuk memasak sup tulang di rumah salah seorang kawan suami saya, saya asik berasa mual. Hampir nak muntah. Bau dari sup yang sedang dimasak itu terasa cukup meloyakan. Dalam diam rupanya suami pun berasa begitu. Namun kami berdua tidak memikirkan apa-apa. Tidak terlintas dihati bahawa saya sudahpun berisi. Alhamdulillah, rupanya rezeki dari Allah datang tanpa dijangka..
Untuk beberapa minggu berturut-turut, segala bau-bauan terasa begitu busuk. Hinggakan ikan yang digoreng oleh jiran belakang berbau seperti daging yang haram disentuh oleh umat Islam. Sedangkan mereka beragama Islam.. Pelik. Sungguh pelik. Kek-kek yang saya masak juga terasa begitu meloyakan, walaupun baru saja lepas dimasak. Bahan-bahannya pun masih segar lagi. Hairan. Sungguh hairan.. Sampaikan saya terpaksa menahan hidung ketika mendeco kek-kek tersebut. Bila teringat kembali terasa lucu pula.. Benar kata-kata orang. Apabila kita terlalu mengharap untuk mengandung lagi, ia tidak menjadi. Tetapi sesudah kita tidak lagi meletakkan harapan begitu tinggi, rezeki telah diberikan. Kuasa Allah, Dia Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..
Kerana tidak tahan dengan bau-bauan yang kurang enak itu, saya mengambil keputusan untuk check lagi. Dibelinya satu lagi set ujian mengandung di farmasi. Terasa berdebar-debar apabila melihat terdapat dua garisan yang tertera pada kertas tersebut. Benarkah? Tetap saya tidak meletakkan harapan tinggi, tunggu untuk dicheck oleh doktor lagi. Alhamdulillah, terbukti saya sudah mengandung. Sudah pun memasuki minggu ke-5..
Sejak itu, rezeki anak datang melimpah-limpah. Segala beban yang ditanggung ketika itu perlahan-lahan beransur hilang. Keresahan yang terpahat dihati mula dapat dikikis. Sedikit demi sedikit. Diganti dengan kesenangan dan kegembiraan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah.. Daya kreativitiku untuk menghias kek juga terasa makin meningkat. Ketelitian untuk menghasilkan kek-kek yang lebih kemas dan cantik dapat dirasakan dan dilihat. Mungkin itu salah satu sifat arwah. Dorongannya dari alam rahim membuatkan saya lebih teliti semasa menghias kek. Dan terasa lebih rajin untuk berkongsi pengalaman dan cara berhias dengan teman-teman yang lain.
Bila terkenang kembali perasaan semasa membuat dan menghias kek-kek tersebut, saya terasa begitu senang sekali. Idea datang mencurah-curah. Teknik-teknik yang saya cuba praktikan bertahun-tahun lebih mudah dilakukan. Cara hiasan dan corak menggunakan coklat juga dapat saya hasilkan. Walhal sebelum ini saya tidak begitu berminat menggunakan coklat sebagai hiasan atas kek..
Namum dalam kegembiraan menimang cahaya mata baru, perasaan sayu kadang-kadang berlegar dalam hati. Hairan. Mungkin ketika itu saya tidak terlalu memikirkannya. Tetapi secara tidak sedar saya seolah dapat merasakan sesuatu. Sesuatu perasaan yang sukar untuk digambarkan. Mungkinkah ia firasat, tanda-tanda dari Allah? Hanya Dia saja yang Maha Mengetahui..
Bila ditenung kembali, mungkin saya sudah tahu. Mengagak. Terlalu banyak perkara yang luar kebiasaan berlaku. Teringat dahulu, hati berasa malas, begitu berat sekali untuk membeli barang-barang bayi. Sehingga sudah memasuki 8 bulan, hanya beberapa pasang baju saja saya belikan untuk arwah. Itupun kerana memikirkan baju-baju yang akan dibawa ke wad nanti. Sedangkan baju-baju abangnya pun kebanyakkan saya telah lama buang, kerana sudah terlalu buruk. Keriangan untuk membeli barang-barang untuk arwah tidak begitu dirasai. Suami juga saya lihat tidak begitu teruja apabila saya mengajaknya untuk membeli barang-barang untuk anak kedua kami. Hanya 1 set kecil selepas mandi saja yang saya sediakan. Tilam, katil, bantal juga tidak dibeli. Padahal di rumah ini barang-barang lama abangnya telah ditinggalkan di semenanjung semasa balik raya dahulu. Pelik..
Beberapa hari selepas dibenarkan keluar dari hospital, tergerak dalam hati untuk membuka handphone saya. Melihat gambar-gambar yang telah ditangkap dalam folder gambar. Betapa sayu bila saya lihat, tiada satupun gambar saya semasa mengandungkan arwah. Sedangkan semasa saya mengandungkan anak sulung kami, saya ada menangkap beberapa keping gambar dalam keadaan saya yang sarat mengandung untuk dijadikan kenangan. Teringat lagi, semasa suami cuba mengambil gambar saya semasa saya masih mengandungkannya, saya terasa begitu malu. Segan. Elak untuk digambarkan. Terkilan juga dalam hati, tiada gambar kenangan saya semasa mengandungkan arwah.. Ketika ibu bapa saya datang hari itu pun, saya bercadang untuk menangkap gambar kami sekeluarga. Tetapi terlupa, hanya teringat setelah bapa dan adik-adik berada di airport untuk balik ke semenanjung.. Mungkin sengaja Tuhan melalaikan saya. Mungkin saya akan menangis, meratapi pemergian arwah jika melihat gambar semasa saya mengandungkannya.. Sedangkan melihat baju-bajunya sekarang pun saya akan terkenangnya..kadang-kadang menitiskan air mata..
Mungkin ini juga salah satu petanda dariNya..anak yang saya kandungkan telah tiba-tiba berada dalam kedudukan serong dalam perut saya. Tanpa sebab munasabah. Mungkin juga, salah satu petanda yang bayi saya akan lahir dalam keadaan rahim saya pecah, kerana kepalanya berada betul-betul dibahagian yang akan terkoyak itu. Wallahu a'alam..
Dari segi saintifik, doktor menjelaskan air ketuban saya begitu banyak. Hampir melebihi paras normal. Dan dikatakan ruang untuk bergerak itu banyak. Namun selang seminggu air ketuban itu dengan mendadak turun ke paras di bawah normal. Ketika itu saya telah berdoa, biarlah kedudukannya kembali pulih. Biarlah selamat. Dan dengan izinNya, dia pun kembali menegak. Mungkin ada yang akan menyalahkan, kenapa tidak dibedah sahaja? Kenapa perlu? Kerana jika tidak dengan izinNya pun, kedudukan anak tetap tidak akan berubah, walaupun pelbagai usaha telah diusahakan. Usaha saya ketika itu cuma berdoa dan berusaha. Bercakap dengan anak, mendoakannya kembali seperti biasa. Mendoakan agar kami berdua selamat. Selebihnya bertawakal. Bukan saya yang mengalihkannya dengan sendiri pun. Tidak berani saya menyentuhnya kerana telah doktor melarang.. Lagi pula, saya tidak menghadapi masalah, anak yang dikandung juga sihat. Atas nasihat doktor juga saya memberanikan diri untuk bersalin normal. Ramai juga kawan yang anak sulungnya caesar, tetapi anak seterusnya normal. Dari mereka saya mendapat kekuatan, menjadi pemangkin semangat saya untuk mencuba..
Saya masih teringat, pada hari saya discan sebelum saya dipaksa bersalin. Doktor telah memberi amaran awal-awal, jangan saya mengada-ngada meminta dibedah kerana saya telah bercadang untuk bersalin normal. Ketika itu saya akur. Bukan mudah untuk pihak hospital melakukan pembedahan serta-merta jika seorang pesakit tiba-tiba minta untuk dibedah. Team pembedahan perlu disediakan. Bilik bedah perlu dipastikan kosong. Jadual orang lain perlu diketepikan. Bila difikirkan kembali, ia seperti telah diatur awal-awal. Umpama satu babak dalam sebuah cerita. Kita seperti pelakon-pelakon, yang melakonkan satu watak..
Satu lagi kelainan yang dapat saya rasakan adalah ketika bersolat. Walaupun pada awalnya perasaan itu tidak hadir..beberapa minggu sebelum saya mula ditahan di wad buat pertama kalinya..beberapa minggu sebelum kandungan saya tiba-tiba berada dalam keadaan menyerong dalam perut..saya sudah berasa satu perasaan yang kurang enak. Hati terasa begitu berat, hinggakan saya menitis air mata bila membaca surah Yasin dan surah Inshirah. Terasa seperti akan meratapi pemergianku sendiri. Seolah-olah salah seorang, atau kedua-duanya sekali, akan pergi menghadap-Nya.. Allahu akhbar..
Mungkin pada orang lain saya cuma berangan-angan. Mungkin mereka mengtakan juga saya hanya menipu diri sendiri. Tetapi perasaan itu benar-benar terjadi, telah meresap ke dalam jiwa saya. Betapa yakinnya saya dengan perasaan itu, sehingga apabila sebelum doktor atau orang lain memberitahu saya yang anak saya sudah tiada, sebelum saya mendengar kata-kata nurse memujuk anak saya supaya bangun dalam bilik bedah pada hari kejadian itu berlaku pun, saya sudah dapat merasakan anak saya telah pergi menemui penciptanya.. SubhanAllah..
Pada yang melihat saya ketika melawat saya di wad, mungkin mereka terasa begitu pelik. Mungkin juga nurse-nurse, doktor-doktor turut rasa begitu. Kenapa saya begitu tenang sekali apabila disampaikan berita yang menyayat hati? Bukankah kebiasaanya seorang ibu akan meraung, pengsan, atau paling kurang menangis, apabila mendengar berita kematian anaknya?
Saya beritahu pada suami, setelah beberapa hari balik dari hospital..akan perasaan yang saya telah lalui. Bagaimana saya terasa seolah-olah pemergian arwah telah dapat saya rasa tanpa sedar, tanpa perlu orang mengatakannya pada saya. Terasa diri begitu lalai, alpa dalam mengingatiNya. Ketika hambaNya yang hina ini kerap melupakanNya, Dia masih mengingati saya. Memberi saya petunjuk-petunjuk, firasat-firasat, klu-klu, bahawa ajal sudah hampir tiba. Betapa kerdilnya rasa diri ini. Dalam kita asyik leka dengan benda keduniaan, Dia masih ingat pada kita. Mengurangkan segala beban di hati. Mungkin kerana itu, mungkin kerana naluri, firasat yang dikurniakan olehNya, saya dapat menerima berita itu dengan tenang. Dia telah memudahkan jalan saya untuk menerima ketentuanNya. SubhanAllah.. Syukur padaMu ya Allah.. Engkaulah Maha Mengasihani.. Betapa malunya aku padaMu..mengejar nikmat dunia tanpa memikirkan soal mati, kehidupan di akhirat nanti.. Bertapa kecilnya dugaan-dugaan yang telah dilalui sebelum ini, jika dibandingkan dengan dugaan yang berat ini..
Mungkin pada orang luar, yang melihat kejadian ini dari sudut yang jauh, akan menuding jari pada sesiapa. Mungkin pada saya kerana tidak merancang untuk dibedah awal-awal. Mungkin juga mereka akan menuduh doktor, atas 'kecuaian' yang berlaku kerana tidak prihatin pada tanda-tanda akan berlakunya pecah rahim, walaupun kes ini sangat jarang berlaku. Ia hanya seperti sebuah kisah dongeng yang dibaca dalam buku medikal, tidak terlintas untuk ia berlaku semasa karier seorang doktor. Ini yang diceritakan oleh doktor-doktor saya. Kemungkinan juga ini kes yang pertama berlaku di Hospital Tawau, saya pun kurang pasti. Sebenarnya kes ini hampir dibawa ke mahkamah, kerana pihak atasan mengandaikan kejadian ini sepatutnya dapat dielakkan dari awal. Namun inilah dikatakan takdir. Sudah ditentukan olehNya, arwah akan pergi pada ketika itu juga. Dalam keadaan itu. Hidup takkan selalu ikut apa yang kita rancang. Kita hanyalah insan yang lemah. Betapa kita cuba merancang, memantau, menjaga..jika Allah mengkehendakinya ia berlaku, maka berlakulah ia.. Yang pergi biarlah pergi, menjadi ingatan dalam diri kita. Yang hidup, jangan dilupa atau diabaikan..mereka masih memerlukan kita..
Walau bagaimana beratnya hati ini..menerima kematian anak..menerima saya mungkin tidak dapat mengandung lagi..atau mungkin mengancam nyawa sendiri dan anak jika dapat mengandung..saya sudah pasrah. Mungkin, pada awalnya hidup akan terasa kelam. Mendung. Sunyi. Jika inilah takdirnya, saya berserah pada Illahi. Hidup, mati, rezeki..semuanya di tangan Allah..
43 comments:
assalamualaikum..
syahdu dan salam takziah ayu ucapkan untuk kak
begitu mendayu dan merayu hati ini bila membaca kisah kak dan baby arwah nurfatihah,
tapi berat mana pun, yang menanggungnya adalah kak..
insyallah.. nurfatihah akan menunggu kak disana..
selalunya bila kita si ibu yang ada perasaan, ianya adalah benar. kerana hanya ibu yang merasainya...
semoga kakak dan family tabah...
bagai terlepas satu bebanan...semoga zack lebih tenang dengan 5 episod luahan ini...
masa belum tau tengah mengandung tu, zack siap main tarik tali lagi masa Hari Keluarga. padahal waktu tu dh berapa minggu mengandung dah. tapi dah tak tau, nk buat mcm mana. Hehehe... Walaupun bukan johan tapi menang jugak la beberapa kali. huhuhu...
Allah maha mengetahui dan memberi yg terbaik bagi hambaNya...insyaAllah..
salam zack.. tak miss satu pun entri zack ni.. sayu, sebak, semua ada.. Allah menyayangi zack sbb tu dia menguji zack sebegini hebat.. dan Dia tau zack mampu dan kuat utk mengharungi nya.. tabahkan hati dn kuatkan semangat ya.. berat mata yg memandang berat lg bahu yg memikul.. insyaallah ada hikmah disebalik setiap sesuatu yg berlaku..
Salam zack, saya suka entry zak yang ni :-
Hidup takkan selalu ikut apa yang kita rancang. Kita hanyalah insan yang lemah. Betapa kita cuba merancang, memantau, menjaga..jika Allah mengkehendakinya ia berlaku, maka berlakulah ia.. Yang pergi biarlah pergi, menjadi ingatan dalam diri kita. Yang hidup, jangan dilupa atau diabaikan..mereka masih memerlukan kita..
motivasi untuk saya juga sebenarnya.Semuanya hanya pinjaman kan.Insyaallah sampai masa dan ketikanya nanti, dengan izinNYA kita akan bersama dengan puteri bidadari syurga kita nanti.
Anda adalah orang yg terpilih utk lalui semua ini,bersyukur dgn ujian ini..adakah ini the and?
ayu: waalaikummussalam.. terima kasih, alhamdulillah Tuhan memberi sy kesempatan utk merasai ikatan rapat antara sy dan arwah semasa mengandung..
cheq sue: terasa sudah melepaskn perasaan bila menulis 5 post ini. selagi hidup, kita akan diuji. dan semoga kita tabah mengharungi ujian2Nya mendatang :)
mamat@abg: mmg dah rezeki kn? kalau ikutkn boleh tergugur masa tu, tapi tetap jg ia melekat :)
kak izah: hanya Dia saja mengetahui betapa beratya beban yg ditanggung ini..dan akan ditanggung hingga ke akhir hayat..
kak nor: w'salam.. terima kasih kak.. bila direnung mmg bnyk hikmah disebalik kejadian.. bersangka baik dgn Allah, insyaAllah baiklah yg kita dpt :)
zuliana abdul rahman: w'salam.. terima kasih, semua ni lahir dr hati sy..bukan cerita khayalan atau dongeng, ia benar2 terjadi.. insyaAllah, mudah2an kita dipermudahkn jln utk bertemu dgnnya di syurga kelak.. :) takziah jg pd zuliana krn kehilangan seorang puteri semasa masih dlm kandungan..
cinnamon: mungkin ye, mgkn tidak.. selagi hidup selagi itu kita akan diuji.. :)
salam zack..
akak kagum dgn zack dan suami..kalian sungguh kuat zahir batin..alhamdulillah zack dan suami terpilih dari kalangan org yang disayangiNya..
berkongsi pengalaman beserta gaya penulisan yang amat teratur juga amat buat akak kagum.. ternyata zack juga amat berbakat dalam bidang penulisan..mana tahu rezeki di bidang penulisan pula di masa akan dtg..arwah nurfatihah benar2 membawa hikmah untuk zack sekeluarga.. walaupun banyak benda yg kita belum nampak tapi DIA lebih tahu apa yg layak utk kita kan.. insyaAllah
mungkin dah ramai yang ucap takziah termasuk akak sebelum ni tapi kali ni akak juga nak ucap tahniah atas kelahiran anak perempuan seperti yang diharapkan walaupun singgahnya cuma sebentar..sekurang2nya DIA telah memberi peluang zack mengandungkan anak lelaki dan juga anak perempuan jika dibandingkan org yang belum berpeluang merasainya kan zack..
terima kasih kerana berkongsi cerita..terharu akak membaca dari awal hingga akhir kisahnya walaupun ada amaran dr zack-org imaginasi tinggi disyorkan jgn baca..akak nak baca juga..alhamdulillah..
Assalam Zack,berat mata memandang berat lagi yg memikul,insyaAllah Nurfatihah akan menunggu Zack disana...
Saya tidak sanggup membaca entri2 Zack ini...tetapi isteri saya telah membaca Part 1- Part 5.
Dia solah-olah merasai segala apa yg telah Zack lalui....Teruskan kehidupan ini dengan penuh ketenangan dan kalian akan berjumpanya nanti di sana.
@kak HaSue: waalaikummussalam..
terima kasih atas kata2 semangat akak itu :) benar juga, Dia telah memberi peluang utk saya mengandungkn seorang anak perempuan, yg telah temankn saya sepanjg sy memasak di dapur. alhamdulillah..terasa doa sy mendpt seorg teman ketika memasak termakbul jua :)
mungkin sbb ni pengalaman sebenar, jd penulisan agak lancar. skrip tidak perlu difikir, watak2 tak perlu ditentukan..kerana semua telah dirancang olehNya sendiri. kita cuma memainkn peranan masing2. sy menulis sebagai kenangan utk kami suami isteri, peringatan utk kami bahawa kami mempunya anak perempuan biarpun cuma persinggahan. sy jg harap apa yg sy tulis ni dpt memberi kesan kpd org lain, tak kira yg mengenali sy atau sebaliknya. semoga sesiapa yg berada dlm situasi sama tetap tabah mengharungi hidup..
@chik Mimi: waalaikummussalam.. terima kasih, mudah2an dipermudahkn jalan utk bertemu dgnnya suatu hari nanti, insyaAllah..
@cikgu Mat Som: terima kasih kpd isteri cikgu sbb membaca entri2 sy ni..insyaAllah, kami suami isteri akan terus berjuang utk teruskan hidup, demi anak sulung kami yg masih kecil. semoga Dia memberi kami kekuatan utk terus bersemangat, amin..
hnya kita yg mngalami sja yg tahu bgmn pedihnya kehilangan kn. Rindu pd si kecil yg telah pergi dahulu sblm kita. Kita ptt bsyukur kn Zack, sbb Allah pilih kita utk mengandung & mlahirkn bidadari syurga. InsAllah mereka akan tgu dsna. Al Fatihah buat NurFatihah & zaraa.
ya..Allah x sanggup Wa nak baca sampai habis..sayunya...sayang nurfatihah...al-fatihah....zack ibu yg sangat tabah...
@mrs. xool: mmg benar, hanya yg telah melaluinya betul2 memahami betapa beratnya menanggung kehilangan anak kita.. semoga Dia memberi kita ketabahan melalui semua ini hingga akhir hayat. Al-Fatihah buat NurFatihah dan Zaraa, semoga mereka menunggu kami ibubapanya di pintu syurga.. amin..
@ummiumaira: kdg2 sy pn tak sanggup nk baca balik post2 yg sy tulis ni ummi :) nnt terasa mcm dadanya ketat, susah nk bernafas.. cuma setelah tulis semua ni hati berasa lebih lega sbb dpt luahkn semunya..
Assalamualaikum,
Sungguh saya menangis bila baca kes Pn. ni...betapa hebatnya dugaan yg Allah S.W.T berikan pada Pn.
saya juga penah melalui saat~saat genting semasa melahirkan anak saya dulu secara pembedahan...
kes saya sbb air ketuban kurang walaupun saya tiada apa2 penyakit yang boleh menyumbang kepada kes ni seperti kencing manis dan lain~lain & cuma dapat dikesan bila kandungan melangkau 8 bulan.. & sejak tu kena tinggal di wad untuk pemantauan.
tapi saya bersyukur sebab diberi pilihan samaada induce atau ceaser & saya pilih ceaser...
Proses ceaser berjalan lancar tapi dengan tiba~tiba berlaku kekecohan bila bayi saya 'tak ada'... saya ceaser cukup~cukup 9bln dan kedudukan bayi saya masih belum 'turun' kebawah..
saya respect semua staf di dlm bilik bedah Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani waktu tu, walaupun staf yang lain berkejar pergi mencari doktor pakar untuk selamatkan bayi saya yang sudah lemas, doktor dan staf yang tinggal tetap berusaha keras mengeluarkan bayi saya sampai naik atas menekan perut saya supaya bayi saya turun kebawah dan berjaya sebelum doktor pakar sampai...Alhamdulillah...
Bayi saya tiada tindak balas semasa dilahirkan... saya bertanya kepada Nurse yang berada dihujung kepala saya apa jantina anak saya, tapi semua diam dan tinggalkan saya... saya tanya berkali~kali dan tak putus berdoa semoga anak saya tak apa~apa...
Agak lama kemudian barulah saya dengar tangisan anak saya..syukur ya Allah doa aku dimakbulkan dan barulah staf disitu datang kepada saya dan bgtau yang anak saya akan dihantar ke NICU kerana lemas dalam tempoh agak lama..
Hari terakhir saya di wad seorang Nurse datang mencari saya dan terus mencium anak saya...barulah saya tau kenapa semua staf disitu tak jawab bila saya tanya jantina anak saya dan tinggalkan saya untuk selamatkan nyawa anak saya yang tersekat hampir 20 minit!...
Apa yang buat air mata saya mengalir bila Nurse tu cakap pada anak saya "Makcik ingat adik dah tak ada waktu tu sebab peluang nak hidup 50:50 sahaja".....
Maha suci Allah, Terima kasih kerana masih beri aku peluang untuk merasai nikmat menjadi seorang Ibu......
Buat Pn. Zack...saya tak ada kata~kata yang sesuai yang dapat menyembuhkan derita rasa yang Pn. alami tapi percayalah, Pn. amat bertuah punyai Nurfatihah Humairah yang sentiasa menanti dan berdoa untuk Pn. di 'Sana'.......
Aku Seorang T.U.T.O.R:
Waalaikummussalam..
Terima kasih atas komen Puan :) Alhamdulillah, saya dan suami sudah mula meneruskan kehidupan seperti biasa. Syukur alhamdulillah, walaupun kadang2 sy terasa sangat rindukan arwah, sy masih dpt bertahan hingga kini.. Allah telah memberikan sy peluang utk bersama2 dgn arwah semasa sy mengandungkannya, dan saya rasa sgt bertuah krn dapat merasakan kenikmatan bersama2 dgn arwah semasa mendeco dan membuat kek, biarpun dia hanya di dlm perut sy sahaja.
Disebabkan ikatan itu, sy teruskn perjuangan sy membuat dan menghias kek, berkongsi pd teman2 lain kerana sy tahu, itu yg arwah suka :) Terasa sgt gembira dan bersemangat, seolah2 si dia masih menemani sy biarpun dr alam yg lain. InsyaAllah, sy redha atas apa yg berlaku..kerana Allah lebih mengetahui apa yg terbaik buat hambaNya..
Terima kasih kerana berkongsi pengalaman bersama sy disini, sy turut bersyukur krn Puan dan anak Puan selamat :) Alhamdulillah, Puan masih diberi peluang utk menjadi seorang ibu :) mudah2an Puan menjadi seorg ibu yg terbaik, dan anak Puan menjadi ank yg soleh/solehah :) amin..
Zack begitu kuat semangat! syabas...ingatlah Nurfatihah Humairah menunggu zack di pintu syurga...
kdg2 ada juga keadaan sy sgt lemah kak e-na, contohnya masa sy buatkn kek barbie doll aritu.. sbnrnya sy teringin nk buatkn utk ank prmpn sy, tp dia sudah tiada..jd sy sedekahkn pd kawan lain. huhu.. masa nk update blog tu sy menangis sebenarnya, terasa sebak sgt2.. tp dh nangis, baru rasa lega sikit. sbb kena terima hakikat..arwah mmg dah tak ada kt dunia ni.. apapun kami masih merinduinya, biarpun dr jauh..
salam,
x tertahan air mata ni bila baca pengalaman zack.. semoga terus tabah
w'salam..
sy pn kadang2 masih lagi bersedih, tapi tetap kena teruskan hidup. syukur alhamdulillah Tuhan masih panjangkan umur..
bila membaca entry Zack mengingatkan saya masa melahirkan anak pertama.. semestinya saya memahami perasaan zack pada ketika itu. bezanya anak saya dapat diselamatkan walaupun harapan sangat tipis pada mulanya.5 hari anak saya berada di wad ICU sudah cukup menguji ketabahan.. Alhamdulillah Nurulfarra Adeeba kini telah berusia 10 tahun.
Buat Zack, Allah telah menjanjikan tempat anda disana. usah ragu akan ketentuan Allah kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambanya.. Al-fatihah buat arwah Nurfatihah Humairah..
Siti - WP Labuan.
@Siti Noorulaini: terima kasih atas kata2 semangat anda.. alhamdulillah, anak Siti selamat dan sudah besar sekarang :)
mmg..kdg2 sy berasa sedih, rindu kat arwah..alhamdulillah, apapun berlaku sy masih ada suami yg sentiasa memberi sokongan..masih ada lg seorg ank yg perlu dibesarkan. kami berdua telah kehilangan seorg cahaya mata, taufiq kehilangan seorang teman bermain, dan tak sempat utk bermanja dgnnya.. apapun semua yg berlaku atas kehendakNya, yg hanya kami mampu adalah mendoakan kesejahteraannya di sana..mudah2an kami sbg ibubapanya dpt bertemu dgnnya di akhirat kelak.. :)
Assalamualaikum, pilu hati saya bila membaca cerita zack ni.. situasi kita hampir sama.. saya ceaser utk anak pertama, dan ditakdirkan Allah sy mengandung lg ketika usia baby baru 4 bulan.. doktor bgtau saya ade peluang utk bersalin normal.. tetapi disebabkan trauma bersalin yg pertama (mengalami contraction tp akhirnye dibedah) menyebabkan saya memilih utk ceaser sekali lg.. dan Alhamdulillah yg kedua kini berusia 1 thn 3 bulan.. semoga awk semakin tabah menghadapi hari2 mendatang.. InsyaAllah Allah lebih tau apa yg terbaik buat kite semua.. Assalamualaikum..
@Fisya: waalaikummussalam..
terima kasih atas kata2 semangat Fisya.. sy sebenarnya tak tahu nak ckp apa.. apa yg boleh sy katakan, inilah takdir saya...kena terima dgn tabah :) semasa sy mengandung dan nk melahirkan arwah, sy telah mengikut kata2 doktor semua dan menaruh kepercayaan pd mereka krn ilmu mereka lbh tinggi dr sy. apa yg berlaku bukan salah sesiapa, kita hanya manusia biasa dan berapa tinggi kita belajar, ilmu Allah lebih tinggi..hanya Dia saja Maha Mengetahui apa yg bakal berlaku.. apapun yg telah berlaku, ia mengajar kita supaya lebih tabah dan bersyukur dgn apa yg kita ada, insyaAllah :)
Terima kasih puan untuk entry yang sangat menginsafkan. Semoga kita menjadi hamba yang bersyukur dengan yang ada & bersabar dengan yang tiada.
Tabah ! Tabah ! dan Tabah ! ^_"
@Surijunior: terima kasih krn sudi membaca, entry2 ni sy tulis ketika masih dlm proses pemulihan rahim dan penerimaan terhadap qada dan qadar yg ditentukan olehNya.. hanya Allah saja yg tahu betapa beratnya hati sy ketika menulis entry ini..tp alhamdulillah lepas tulis ada sedikit kelegaan :)
assalamualaikum kak zack...slm kenal..
asalnye sy ni google kek yang simple..then jumpe blog akk amik resepi..
then ade yg menarik perhatian sy arwah nurfatihah..berkaca mata sy baca pglmn akk pt 1- pt 5..sayu sgt..naluri seorg ibu kan..
sy yakin ade hkmah yg besar dr Allah ats semua yg berlaku ni..
hope akk smkn sht n be strong k! =)
waalaikumussalam,
terima kasih ecah, asalnya blog ni akak tulis sekadar catitan hidup berkeluarga di perantauan, last2 jd blog resepi. hehe..
akak pn tak tahu nak cakap apa ecah..mgkn tu la takdir akak sekeluarga.. skrg ni salah satu cara akak nk kembali bersemangat melalui deco kek. dr situ akak dpt kekuatan utk mengingati dia..sbb masa akak mengandung akak mmg suka deco :)
Salam kak zack..
saya tersesat masuk blog akak sebab nak tengok resepi =) tapi tertarik dengan tajuk arwah nurfatihah dan rahim pecah (1st time dengar).mula2 air mata berlinang jer pastu terus berguguran saya baca pengalaman akak.SubhanaAllah kuat betul semangat akak saat kehilangan arwah. Semoga akak lebih tenang, sihat dan success dgn apa yg akak buat sekarang..
anyway deko akak memang cantik2 =)
A'kum zack,
mencari resepi asalnya..kemudian ada sesuatu yg menarik sy utk membaca enty awak lebih lanjut. sy spt berada dlm dunia lain apabila membaca kisah pilu awak.. bulu roma sy tegk sms menghabiskan kesemua part.hati terasa sebak..air mata hampir gugur kerana tumpang simpati dgn zack... you r really tough person, the choosen one and don't be sad cause nurfatihah menantikan awak disyurga..
"Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.
- (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun,157. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (2:156-157)"
@wawa:
salam wawa,
terima kasih atas pujian wawa, kek akak biasa2 je :) baking salah satu terapi utk akak mencari ketenangan diri. cake decorating is my way of expressing myself, akak just go with the flow :) tq atas kata2 semangat wawa, I really appreciate it.. :)
@ummu aidan:
w'salam,
biasa org mmg akan tersesat ke sini kalau mencari resepi2 kt internet ummu ;) huhuhu.. post2 tentang arwah peringatan kpd sy tentang apa yg telah berlaku. sometimes ada rasa unbelievable it was more than a year ago.. parut2 tu masih sakit lg, makan tahun nk kurang doktor kata. hanya parut dan kesakitan menjadi bukti that I had a daughter and she died inside of me.. apapun semua ada sebab, hanya Dia sahaja yg tahu and probably time will tell..that it's all for the best.. innalillahiwainnailahirojiun.. semoga Allah memberkati kita semua.. amin..
assalam zack.. sya sering masuk ke sini utk tgok resepi2 zack dan siap letak blog zack ni dlm bloglist saya lagi.. tapi baru kali ni sya perasan entry mengenai arwah.. dah sejam sya di sini.. berderai2 air mata mengalir baca kisah zack.. moga zack dan suami terus disinari kebahagian dan mudah2an apa saja yang zack doakan padaNya dimakbulkan, insyallah.
@atie: w'salam, sebenarnya sy nk baca balik post sy ni pn tak larat, terasa sayu sgt bila terkenangkan kejadian tersebut.. apapun terima kasih, semua yg berlaku hanya Dia yg lebih mengetahui..
allahuakbar..x kuatnya nak membaca smpai ke akhir tulisan awak...
brt sgguh dugaan yg awak hadapi...saya x sanggup nk bc smpi hbis lg..pedih sgt rsanya
Salam Sis...
Saya terjumpa blog ni bila mencari maklumat yg dinasihatkan oleh doctor berkenaan dgn VBAC dan pecah rahim...
Betul, info2 medical yg sy baca dan keterangan doc ttgnya, risiko hanyalah 1/1000 dari kes VBAC...
Saya bersalinkan anak sulung saya secara c-ser pd Feb 2011, arini kandungan kedua saya genap 2 bln sementara anak sulong saya berusia setahun 10 bln...
Saya di c-ser semasa lahirkan anak pertama slps mencuba bersalin normal, sy di induce dari pukul 10am-5pm tp jalan lsg xterbuka dan graf CTG merosot kerana air ketuban sudah turun dr pukul 8.30am..slps di c-ser, rupanya kepala anak saya terbelit dgn tali pusat...hampir lemas, 5 minit slps lahir baru dgr suaranya menangis...syukur Allah selamatkannya pd waktu itu...
Di check up pertama utk 2nd prenancy ni, saya trs bertanyakan doc adakah chances utk sy bersalin normal anak kedua?saya trs dibawa berjumpa pengarah hospital bersalin swasta berkenaan utk diberi penerangan lanjut...
kata pengarah yg juga Obgynea tsb, dia ceritakan pengalaman yg pernah berlaku di dpn matanya sbg seorg pakar sakit puan..ada 3 kes yg diceritakan pd saya mengenai kejadian pecah rahim tersebut, ketiga2 kes bayi tak dpt diselamatkan, 1 kes ibu juga passed away, 2 kes lagi rahim dibuang utk selamatkan nyawa ibu tp si ibu 2 bln di ICU...
Doc kata lagi, hospital dia x ambil risiko utk kejadian tsb berlaku...jd utk kes ibu2 yg pernah c-ser, doc trs nasihatkan utk tdk mencuba normal.. hospital berkenaan tdk lgkp facility utk handle kes2 ICU sekiranya berlaku...
Mulanya sy fikir, xpe la...klau nk cuba normal jugak terpaksa ke hospital krjn la...tp saya pon sedar, even di awal pregnancy ni perut saya kdg2 terasa masih ngilu...doc pon kata, my 2nd pregnancy berlaku within 2 years, so its higher the risk of ovary ruptured to be happened....
Selepas baca cerita dari sis, saya rasa saya mgkin tak sekuat sis menghadapi ujian Allah tsb...takziah dari saya...InsyaAllah syurga tuk arwah....
saya mengandung anak ke 5.dah masuk minggu ke 32 ni baru dr perasan yg baby akak ni senget ke kiri,tu yg cari maklumat,terjumpa plak blog adik ni..takziah akak ucapkn..semoga terus kuat.
thanks kak rozilah, azzpinky dan nurul.. sebenarnya sy tak sanggup nk baca balik entry tentang ruptured uterus ni, takut terkenang kembali waktu tu... kesakitnya tak dpt sy nk terangkan, sampai sekarang tempat terkoyak kt rahim tu masih berdenyut2 lg nak2 kalau sy tengah stress. mudah2an lepas ini semuanya lebih selamat dan andai ditakdirkn sy dpt mengandung lg, biarlah anak sy panjang umur.. amin..
Salam...sis..sy pn tersesat ke blog sis nie...sayu hati menitis air mata luluh jiwa membaca kisah sis..sy doakn sis akan terus tabah menghadapi masa depan.sis beruntung kerana puteri sis itulah yg akan memimpin tgn sis utk ke syurga...alfatihah
assalamualaikum pn zack.
akk mula terpaut dgn blog zack semasamencari resepi biskut semperit. sejak itu, akkmula start membuat kek drp resepi yg zack post kan. alhamdulilah semuanye sedap dan zack x kedekut memberikan ilmu. akk juga baca entri zack berkaitan arwah nurfatihah humaira. sedihdan pilu.akk tau mcm mn perasaan itu sbb ketika mengandungkan anak ke3 akk yg lahir pd 28.9.11 semua petanda Allah beri tapi kita x sedar.akk suka mkn kuih penderam, akk tak beli topi, akkselalu baca yassin n setiap kali doa akk minta zuriat yg sempurna dan soleh. sedangkan sblm kandungan ini akk biasa saje. ketika melahirkan bby lelaki ke 3 akk, akk terkedu dan terpaku apabila suami akk menyatakan telinga kiri anak akk x normal atau lbh dikenali sbg microtia atresia.jujur akk katakan 2mgu slps kelahiran akk terdiam, tak nak ckp dgn semua org sbb akk sedih bukan kerana ank akk tidak normal tetapi akk terpk masa depannya. alhamdulillah suami, keluarga n kwn2 memberikan sokongan. dan yg menguatkan semangat akk apabila ank2yg lain syg pada adik mereka. ketika ini umurnye sudah genap 2thn 3 bln dan alhamdulillah kerana Allah makbulkan doa akk agar ank akk blh mendengar, brcakap dan bermain seperti kanak2 lain.akkteringat kata2 Dr Fadhillah Kamsah iaitu Allah hanya menguji hambanya mengikut tahap kemampuan kita. akk yakin ada hikmah di sebaliksetiap apa yang Allah tentukan buat kita.
Terima kasih Ina.. insyaa Allah syukur tempatnya..
Waalaikumussalam, terima kasih kak Maziz.. besar dugaan akak. alhamdulillah Allah makbulkan doa akak.. mudah-mudahan saya pn setabah akak. insyaa Allah..
sedih betul saya baca kisah ni..ermm..dokter tu dokter lelaki ke ?saya macam pernah dengar kisah ni dari mulut adik saya..mungkin akak lah patientnya..dugaan akak besar sungguh..saya doakan akak sekeluarga dalam keadaan sihat dan dilindungi Allah hendaknya..
Post a Comment